Macau Scam: Wanita warga emas hilang lebih RM1 juta wang simpanan
04/02/2021 08:12 PM
KUALA LUMPUR, 4 Feb — Seorang pesara wanita berusia 74 tahun kehilangan lebih RM1 juta wang simpanannya selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam, tahun lalu.
Wanita warga emas itu menerima panggilan individu yang mendakwa dari ibu pejabat Pos Malaysia pada 25 Sept tahun lalu, yang menyatakan terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan, buku cek, dan tiga kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bawah namanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu bernama Sarjan Fairul dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang mengatakan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan sedang dalam siasatan.
“Panggilan itu sekali lagi disambungkan kepada seorang lagi individu lelaki bernama Si Wan, yang mengugut mangsa dengan menyatakan akan ditangkap dan direman jika enggan memberi kerjasama sepanjang ‘siasatan mereka’.
“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa akur permintaan suspek dengan memberikan maklumat akaun banknya kepada Si Wan dan memindahkan RM833,000 daripada akaun Tabung Haji ke dalam akaun Maybanknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata pada 5 Okt 2020, Si Wan meminta wanita itu menyerahkan kad Maybanknya, yang didakwanya diperlukan untuk mengeluarkan wang itu bagi tujuan pengauditan dalam kes pengubahan wang haram kononnya dia sedang siasat.
Beliau berkata pada 6 Okt 2020, berikutan arahan Si Wan melalui telefon, mangsa pergi ke Pusat Beli-belah Atria dan telah meletakkan kad Maybank di atas peti surat seperti yang diarahkan.
“Pada 28 Okt 2020, mangsa telah melakukan beberapa transaksi dengan memindahkan RM75,000 dari akaun CIMB Bank miliknya ke dalam akaun Maybanknya dan diikuti empat lagi transaksi selepas dia memindahkan RM84,500 lagi ke dalam akaun Maybanknya,” katanya.
Tambahnya, warga emas itu mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM1,007,673.33 selepas terpedaya dengan sindiket itu yang sering menyasarkan warga emas kurang pengetahuan dan pendedahan mengenai jenayah siber.
Hampir 1,000 ditahan terlibat Macau Scam sehingga Oktober