Polis rampas dadah, tahan lima lelaki termasuk dua beranak

04/02/2021 07:45 PM

KOTA BHARU, 4 Feb — Polis Kelantan percaya telah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah sejak awal tahun lepas, setelah menahan lima lelaki berumur antara 18 dan 60 tahun, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM120,000 dalam dua serbuan di Kampung Tok Che Dol, dekat Tanah Merah, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan ACP Sheik Azhar Sheik Omar berkata antara ditahan adalah seorang bapa berumur 60 tahun dan anaknya berumur 18 tahun, yang didapati memiliki kereta mewah serta pelbagai kenderaan lain.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada pukul 3.45 petang di sebuah bangsal di kampung itu, polis telah menahan tiga penganggur berumur antara 22 dan 25 tahun, dan merampas empat paket palstik berwarna biru, dengan setiap paket mengandungi pil dadah jenis Yaba yang keseluruhannya berjumlah 800 biji pil, dianggarkan bernilai RM8,000.



ACP Sheik Azhar Sheik Omar (tengah)

“Ketiga-tiga mereka yang positif methampetamine didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, dan polis turut menyita dua motosikal dalam serbuan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya kira-kira pada pukul 4.30 petang pula, polis menyerbu sebuah rumah di Gual Ipoh dan menahan dua beranak itu.

Sheik Azhar berkata hasil pemeriksan di satu kawasan semak berhampiran, polis menemui 5,000 biji pil Yaba, 26 botol heroin seberat 104 gram serta 100 gram syabu yang kesemuanya dianggar bernilai RM112,000, dan polis turut merampas sebuah kereta jenis BMW, Perodua Myvi, sebuah Proton Satria serta tiga motosikal dengan nilai keseluruhan RM193,829.



Beliau berkata kedua-dua mereka yang mempunyai rekod jenayah lama itu direman sehingga 10 Feb bagi membantu siasatan.

Sementara itu di KANGAR, Perlis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis merampas 400 kilogram daun ketum dianggar bernilai RM72,000 yang cuba diseludup ke luar negara di persisiran pantai Kurung Tengar kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata hasil risikan mendapati sindiket itu giat melakukan aktiviti penyeludupan daun ketum ke Thailand melalui jalan laut.

“Dalam satu rondaan di kawasan itu, anggota APMM terserempak dengan empat individu sedang leka memunggah keluar muatan plastik hitam berisi daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Waja ke persisiran pantai dan menunggu bot untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Beliau berkata kesemua suspek bagaimanapun sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa dan hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Mohd Shafie berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan harga daun ketum di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding kira-kira RM80 hingga RM100 sekilogram sebelum ini.

Polis Kelantan rampas dadah, sita kenderaan bernilai hampir RM800,000



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button