Pokok limau hiasan masih dapat permintaan, penyeri sambutan Tahun Baharu Cina



07/02/2021 11:14 AM

Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

SEREMBAN, 7 Feb — Setiap kali tibanya perayaan Tahun Baharu Cina, kediaman masyarakat Tionghoa biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis bunga dan pokok limau hiasan yang berwarna terang sebagai lambang kelahiran semula, kegembiraan dan tuah.

Pokok limau kasturi, bunga kekwa dan orkid antara yang menjadi pilihan mereka, dan tinjauan Bernama di kedai bunga dan nurseri di sini mendapati permintaan terhadap pokok limau hiasan masih tinggi sekalipun sambutan Tahun Baharu Cina kali ini agak suram susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Seorang pengusaha, Nixon Lau Tian Soon berkata setakat ini pihaknya menerima lebih 1,000 permintaan terhadap pokok limau hiasan, kebanyakannya daripada pelanggan tetap.

Mengakui pelaksanaan PKP menjejaskan permintaan terhadap pokok hiasan itu, Lau berkata tahun lepas mereka menjual lebih 4,000 pokok dengan permintaan diterima dari seluruh negeri.

“Kali ini hanya daripada pelanggan sekitar Seremban yang ingin mendapatkan pokok limau lebih berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya selain mendapatkan bekalan daripada ladang sendiri di Tapah, Perak, beliau turut mengimport pokok limau mandarin dari China yang dijual dengan harga antara RM800 dan RM1,400 berbanding pokok limau kasturi tempatan yang berharga RM68 hingga RM438.



Pokok limau ini penting dalam sambutan Tahun Baharu Cina kerana tanaman itu melambangkan tuah selain memberikan suasana ceria, katanya.

Seorang suri rumah, Chong Chin Yee, 33, berkata pokok itu merupakan satu kemestian di rumahnya setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ia juga bertujuan ‘menghidupkan’ sambutan Tahun Baharu Cina dan pokok limau hiasan ini hanya boleh didapati sekali sahaja pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Sungai Ujong Walk sepanjang Jalan Murugesu di sini mendapati kawasan berkenaan tidak semeriah seperti tahun sebelumnya dengan kebanyakan kedai tidak beroperasi dan suasana lengang susulan pelaksanaan PKP.



Peniaga alatan sembahyang Cina dan perhiasan, Kenneth Low, 41, berkata jualan agak perlahan selain bilangan pelanggan juga berkurangan.

“Kalau sebelum ini kita boleh membuat jualan antara RM3,000 dan RM5,000 sehari, tahun ini bawah RM3,000. Saya tidak rasa akan ada pembelian saat-saat akhir kerana orang memilih duduk di rumah sahaja,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker