IMF: China dorong kedinamikan pemulihan ekonomi global
International Monetary Fund (IMF)
08/02/2021 03:02 PM
BEIJING, 8 Feb — Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata China akan menjadi pendorong kepada kedinamikan pemulihan ekonomi global.
Dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu, beliau berkata ia selaras dengan pertumbuhan ekonomi China yang dipacu oleh penggunaan domestik sekali gus memperlihatkan perluasan dasar keterbukaan yang berterusan.
Menurutnya, China merupakan satu-satunya entiti ekonomi utama dunia yang mencatatkan pertumbuhan positif sepanjang 2020.
IMF juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi China akan mencatat kadar 8.1 peratus pada tahun ini.
Selain itu, beliau berkata pemulihan ekonomi di China memberikan pengaruh positif kepada pelbagai negara, khususnya entiti yang mengekalkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang rapat dengan negara itu.
Mengulas mengenai ekonomi global, beliau memberi amaran bahawa ekonomi dunia sedang menghadapi risiko pemulihan yang tidak selaras.
Jelasnya, meskipun IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini, namun sebanyak 150 entiti tidak dapat memulihkan ekonomi masing-masing kepada tahap sebelum penularan pandemik menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan itu katanya, perbezaan pendapatan antara negara maju dengan negara membangun juga akan terus meningkat.
Justeru, beliau menggesa pelbagai negara berusaha mengatasi masalah tersebut antaranya dengan mempercepat pengeluaran vaksin dan menyempurnakan pengagihan, selain memberikan bantuan kepada negara membangun.
Tambah Georgieva, dasar bantuan juga perlu terus dilaksanakan bagi membantu untuk memulihkan ekonomi, khususnya kepada golongan yang terjejas teruk akibat pandemik.
Selain itu pelbagai negara perlu merapatkan kerjasama antarabangsa, sementara perjanjian Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang telah tercapai sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya bagi membatal atau mengurangkan hutang kepada negara-negara paling mundur.