Pertubuhan wilayah pertikai CFCM tandatangani Piagam Islam Perancis
09/02/2021 06:44 PM
PARIS, 9 Feb — Pertubuhan Islam terus membantah piagam untuk penduduk Islam Perancis yang disediakan pentadbiran Presiden Emmanuel Macron dan ditandatangani oleh persekutuan yang menganggotai Majlis Penganut Agama Islam Perancis (CFCM), lapor Agensi Anadolu.
Bantahan terbaharu adalah daripada Majlis Islam Wilayah Savoie (CDCM) yang menyifatkan piagam itu disediakan tanpa berunding dengan pihak berkuasa dan pertubuhan Islam di wilayah berkenaan.
Masyarakat Islam di wilayah itu tidak berpuas hati dengan peraturan dan menolak teks yang terkandung di dalam piagam tersebut, mendakwa ia hanya menyasarkan umat Islam.
Bulan lalu, tiga pertubuhan CFCM mengecam “Piagam Prinsip Islam” yang dikatakan mahu menyesuaikan agama itu dengan politik Perancis.
Setelah berminggu-minggu bertelingkah, CFCM, badan nasional dianggotai sembilan persatuan – sepakat menyatakan mereka bersetuju terhadap teks piagam itu mengenai “menolak campur tangan asing, politik Islam, dan amalan adat tertentu serta teks berkaitan menghormati kesaksamaan gender.”
Perjanjian itu akan membuka jalan bagi pembentukan Majlis Imam Nasional yang akan mempunyai kuasa untuk mengawal selia dan memantau amalan serta tugas oleh seseorang imam.
Majlis itu akan menyekat kemasukan imam dari Turki, Tunisia, Maghribi dan Algeria, dan 300 imam mungkin diusir, menurut laporan yang diterbitkan oleh saluran berita France 24.