Sumareh sah sertai skuad Harimau Selatan
Mohamadou Sumareh (Gambar fail)
09/02/2021 06:39 PM
KUALA LUMPUR, 9 Feb — Selepas empat bulan bersama kelab Liga Thailand, pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, sah menyertai kelab juara Liga Super sebanyak tujuh kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengumunan tersebut dibuat menerusi satu video ringkas di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.
Video Sumareh, yang tiba di Stadium Sultan Ibrahim, dengan menaiki limousin untuk menandatangani kontrak, dimuat naik dengan kapsyen: “Drebar, sila bawa saya ke kelab terbaik di Malaysia. Selamat Datang ke Pangkalan Juara, Sumareh!”.
Pemain berasal dari Gambia berusia 26 tahun itu turut memperagakan jersi bernombor 13 kegemarannya.
Sebelum ini, Sumareh menyertai kelab Thailand, Police Tero FC, pada September tahun lalu selepas meninggalkan Pahang apabila mendakwa pasukan Liga Super itu tidak membayar gajinya selama beberapa bulan.
Sehubungan itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini mengarahkan bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membayar US$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada Sumareh berkaitan tunggakan gaji dan pelanggaran kontrak.
Sementara itu, Sumareh menerusi Instagramnya mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas peluang beraksi bersama kelab itu.
‘Teruja untuk meletakkan semua isu di belakang saya dan memulakan saingan baharu bersama JDT. Terima kasih Tunku Ismail atas peluang mewakili kelab bola sepak yang hebat ini. Tidak sabar untuk bermula.
“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada projek JDT dan berharap dapat membantu pasukan untuk memenangi lebih banyak trofi,” kata pemain yang dikenali sebagai Keli Boy.
FAM terus kunci mulut isu PBNP, Sumareh