Perak FC akur titah Sultan Nazrin, anjur pertandingan cipta logo baharu


Khairul Shahril Mohamed

09/02/2021 06:08 PM

PARIT, 9 Feb — Kritikan peminat terhadap logo baharu Perak FC yang diperkenalkan baru-baru ini mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang menasihatkan agar satu pertandingan mencipta logo baharu diadakan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Shahril Mohamed yang berkata Perak FC akur dengan nasihat baginda.

“Baginda bertitah demikian selepas dipersembahkan reaksi para penyokong yang kurang berminat terhadap logo baharu Perak FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

“Baginda bertitah nasihat agar maklum balas daripada para penyokong didengari, dihormati dan diberikan perhatian,” kata Khairul Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya pertandingan bagi menukar logo Perak FC itu akan dilancarkan secara maya menerusi laman media sosial Perak TBG malam ini.

“Kita juga akan menyediakan hadiah sebagai penghargaan kepada peminat bola sepak Perak, jadi saya seru kepada semua peminat mengambil ruang yang terbuka luas untuk bantu menjayakannya,” katanya.

Pada 30 Jan lepas, Perak FC memperkenalkan logo baharunya menerusi Instagram ‘peraktbgmy’ dengan mengetengahkan konsep ‘a new chapter begins, but the history remains’.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya kekal dengan keputusan menggunakan logo baharu Perak FC itu meskipun menerima kritikan daripada penyokong The Bos Gaurus.

Leave a Reply