HASRAT TERCAPAI – FAUZIAH NAWI DIJEMPUT KE ISTANA NEGARA
Pada 4 Februari lalu, pelakon veteran, Fauziah Nawi, 68, menyatakan kesanggupannya untuk berjumpa pembesar negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri bagi memohon kebenaran untuk penggiat seni menjalani penggambaran. Terkini hasratnya itu tercapai apabila beliau dijemput ke Istana Negara, di sini, pagi semalam.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Fauziah telah meluahkan rasa syukur apabila diberi kebenaran untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara.
Fauziah yang mesra dengan panggilan ibu, menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas keprihatinan dan kepekaan baginda terhadap keluh-kesah penggiat seni yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Klik untuk gambar besar
“Alhamdulillah, atas titah perkenan Tuanku, patik bersama beberapa rakan seperjuangan dapat untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara hari ini (semalam),” tulisnya.
Dalam status tersebut, Fauziah juga memberitahu, dalam pertemuan itu, mereka diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi anak-anak seni ketika ini.
Menurutnya, mereka juga memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni tanpa mengira cabang seni yang diceburi supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan SOP untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup bersama keluarga.
“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP, kami tidak terkecuali dari tekanan ekonomi yang melanda ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Fauziah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Kementian Komunikasi dan Multimedia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan semua persatuan-persatuan dalam industri hiburan di atas usaha mereka menangani permasalahan berkenaan. Fauziah turut berharap luahan dan perkongsian mereka mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong.
DEMI MOHON KEBENARAN SHOOTING – FAUZIAH NAWI SANGGUP JUMPA AGONG, PM