Tiga pejawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu, salah guna kuasa


Penjawat awam Mohd Hizan Laliman, 40, yang merupakan Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa memberikan kontrak kepada ahli keluarganya. Dia didakwa atas 11 pertuduhan memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembekalan makanan yang berjumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarga dalam tempoh 2013 hingga 2015.

15/02/2021 03:55 PM

KOTA KINABALU, 15 Feb — Tiga penjawat awam agensi kerajaan Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan salah guna kuasa memberikan kontrak kepada ahli keluarga.

Tertuduh Panduan Paglin, 40, dan Erwan Roslan, 41, merupakan kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana membuat tuntutan resit hotel palsu di sini pada 2017.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Hizan Laliman, 40, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Sabah dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa memberikan kontrak kepada ahli keluarganya.

Mengikut pertuduhan, Panduan dan Erwan masing-masing didakwa atas enam pertuduhan berkaitan tuntutan elaun perjalanan berdasarkan kepada enam bulan tuntutan melibatkan beberapa resit hotel palsu iaitu Panduan berjumlah RM3,443 manakala Erwan sebanyak RM2,938.

Mohd Hizan didakwa atas 11 pertuduhan memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembekalan makanan yang berjumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarga dalam tempoh 2013 hingga 2015.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Rakhraj Singh dan Panduan serta Erwan diwakili peguam Jamadi Salleh manakala Mohd Hizan diwakili peguam Mohd Ari Nazrah.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan.

Panduan dan Erwan masing-masing dibenar diikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 seorang manakala Mohd Hizan dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan deposit RM7,000.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Panduan dan Erwan pada 7 April depan manakala Mohd Hizan pada 31 Mac ini.

Leave a Reply