PSM tidak mahu skuad negara putih mata di Hanoi


Datuk Seri Ahmad Ismail

16/02/2021 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengakui bimbang skuad negara tidak dapat membawa balik pingat sekiranya persatuan itu ‘dipaksa’ menghantar skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada akhir tahun ini.

Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail berkata pemain B-23 belum bersedia untuk memikul tanggungjawab di tahap Sukan SEA, selain tiada pendedahan di mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa mahupun domestik susulan pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.



Malah, beliau menegaskan bahawa negara lain seperti Thailand sudah pasti akan menghantar barisan pemain yang terbaik dan berpengalaman ke temasya dwitahunan itu yang dijadual bermula 21 Nov hingga 2 Dis ini.

“Kita ada dengar satu keputusan bakal dibuat dalam masa terdekat oleh pihak terlibat, untuk mewajibkan semua pemain (dan atlet) ke Sukan SEA mestilah berumur kurang daripada 23 tahun. PSM tidak bersetuju dengan keputusan itu dan ia dilihat sebagai tindakan terburu-buru, ketika kita dilanda pandemik.

“Prestasi sukan sepak takraw sedang meningkat dan perkara ini mampu membantutkan perkembangan itu. Apakah nasib pemain senior kita? Kita juga harus bersedia untuk hadapi Sukan Asia 2022. Saya rasa Thailand pun tidak berani turunkan skuad dibarisi pemain muda sepenuhnya.

“Sekiranya keputusan ini mahu diambil juga, kami minta diadakan satu bengkel, secara dalam talian pun tak apa, untuk membincangkan perkara ini dengan semua persatuan sukan kebangsaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PSM di sini, hari ini.



Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, skuad sepak takraw negara terpaksa berpuas hati dengan pencapaian dua pingat perak dan sebutir gangsa, selepas berjaya meraih dua emas, tiga perak dan enam gangsa pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

PSM harap kerajaan beri kelonggaran industri sukan untuk aktif semula




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading