Mahkamah putuskan esok permohonan hina mahkamah oleh AG terhadap Mkini Dotcom, KP

18/02/2021 04:51 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb — Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya esok berhubung permohonan menghina mahkamah oleh Peguam Negara (AG) terhadap portal berita Malaysiakini dan ketua pengarangnya mengenai komen pembaca yang telah disiarkan dalam portal berita itu.

Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat yang mengendali portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, ketika dihubungi berkata mahkamah sebelum ini menetapkan 15 Jan untuk memberikan keputusan tetapi ia ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Sementara itu, menurut surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, mahkamah dijangka menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi.

Sebagai langkah untuk mencegah penyebaran COVID-19, media dibenarkan mengikuti prosiding itu melalui siaran langsung dari dewan persidangan di Istana Kehakiman sementara jurugambar dan jurukamera hanya dibenarkan berkumpul di lobi bangunan mahkamah.

Pada 13 Julai tahun lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian untuk menyampaikan keputusan kes itu.

Pada 17 Jun, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak AG untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom dan Gan.



Pada 2 Julai, Mkini Dotcom dan Gan gagal mengetepikan kebenaran yang diperoleh AG untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

AG memohon kebenaran untuk memulakan prosiding itu terhadap Mkini Dotcom dan Gan berkaitan komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Semasa pendengaran permohonan itu, Peguam Kanan Persekutuan S. Nakunavathy mewakili Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun berhujah bahawa Mkini Dotcom telah menjadi pemudahcara bagi penerbitan komen berkenaan dan syarikat itu dianggap telah menerbitkan komen berkenaan yang disifatkan menghina.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Mkini Dotcom dan Gan berhujah, AG perlu membuktikan wujud keraguan melampaui munasabah bahawa anak guamnya sengaja menerbitkan komen berkenaan, dan menambah daripada keterangan yang diberikan menunjukkan mereka tidak berniat untuk menerbitkan komen itu.



Kes Arwah Adib, Semoga AG Baharu Beri Keadilan Sebaiknya – Shahrir

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button