Guru wanita rugi RM115,000 ditipu ‘Macau Scam’

18/02/2021 05:20 PM

ALOR SETAR, 18 Feb — Seorang guru wanita kerugian RM115,000 selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menghubunginya dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai atas syarikat miliknya.

Wanita berusia 41 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 7 Feb lepas mendakwa sebagai pegawai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai atas syarikat namun menafikannya sebelum disambungkan kepada seorang lelaki mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.



Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) Supt Elias Omar berkata panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang lagi lelaki mendakwa pegawai atasan berpangkat Datuk di IPK Pahang.

”Suspek meminta mangsa membuka aplikasi WhatsApp sebelum menerima satu mesej dengan notis mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek mengarahkan wanita itu untuk membuat pinjaman peribadi dari bank kerana perlu ada kewangan yang kukuh dalam akaun dan mangsa kemudiannya ke Bank Rakyat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM133,080.90 pada 8 Feb.

“Mangsa diarahkan membuka pautan perisian yang diberikan dan memuat naik aplikasi MyBNM untuk mengisi maklumat peribadi mangsa dan maklumat perbankan untuk siasatan lanjut. Tanpa membuat semakan, mangsa terus memuat naik aplikasi tersebut dan mengisi butiran peribadi serta butiran perbankan miliknya.



“Pada 15 Feb, mangsa menghubungi suspek dan memberitahu tentang wang pinjamannya sebanyak RM133,080.90 telah dikreditkan ke dalam akaun miliknya.

“Pada 16 Feb, mangsa cuba untuk log masuk ke sistem perbankan dalam talian miliknya namun mendapati ia telah disekat dan terus menghubungi pihak khidmat pelanggan. Mangsa dimaklumkan bahawa terdapat transaksi pindahan wang dari akaunnya ke tiga akaun berbeza berjumlah RM115,000,” katanya.

Susulan itu, Elias berkata wanita berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis di Kulim semalam dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Peniaga rugi lebih RM90,000 ditipu ‘Ah Long’



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button