Polis edar fotofit lelaki samun, sorok bayi
19/02/2021 06:11 PM
GEORGE TOWN, 19 Feb — Polis hari ini mengedarkan fotofit seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun rantai emas bernilai RM1,200 daripada seorang wanita sebelum bertindak menyorokkan bayi lelaki mangsa yang berusia tiga bulan di dalam sebuah tong di rumah mangsa, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata fotofit tersebut dibuat berdasarkan keterangan daripada mangsa dan wanita tersebut hanya dapat mengenal pasti seorang daripada dua suspek yang menyamunnya.
“Berdasarkan keterangan mangsa, suspek yang fotofit diedarkan itu berbangsa Cina kerana berkulit cerah serta bercakap dalam bahasa Hokkien manakala rakan sejenayahnya pula berkulit gelap dan wanita itu tidak dapat mengenal pasti wajahnya.Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki dipercayai berusia 30-an yang kami edarkan fotofit itu dapat tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai berdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya berdasarkan siasatan, dua lelaki itu tidak menggunakan lif untuk naik ke tingkat lima rumah mangsa di Jalan Van Praagh, Jelutong di sini, kerana terdapat kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif tersebut berikutan khuatir wajah mereka dirakam dan dipercayai mereka mengetahui selok-belok kawasan perumahan tersebut.
Soffian berkata semasa kejadian, dua lelaki itu turut tidak memakai pakaian seragam syarikat kurier sebaliknya memakai t-shirt biasa dan polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta tidak membuka pintu rumah kepada sesiapa tidak dikenali.
“Macam dalam kejadian samun itu, kedua-dua suspek tidak memakai pakaian seragam malah mangsa juga mengetahui dia dan suami tidak membuat sebarang pesanan barangan untuk dihantar syarikat kurier, jadi saya nasihatkan orang ramai lebih berwaspada malah tidak terus membuka pintu sebaliknya menyemak terlebih dahulu pesanan tersebut,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua lelaki berkenaan datang ke rumah mangsa mendakwa mereka dari syarikat kurier mahu menghantar barang.
Sebaik mangsa membuka pintu, mereka menyamun rantai emas mangsa dan bertindak menyorokkan bayi lelaki mangsa yang berusia tiga bulan di dalam sebuah tong dengan mulut disumbat dan ditampal pelekat apabila mereka gagal mendapatkan wang RM50,000 daripada mangsa.
Kedua-dua lelaki itu kemudian beredar meninggalkan rumah tersebut sementara wanita berkenaan bertindak mencari bayinya. Bagaimanapun bayinya ditemukan selamat.
Dua lelaki terlibat lebih 10 kes samun warga asing ditahan