Kontinjen T’ganu kembali berlatih untuk hadapi Sukma
19/02/2021 12:14 PM
KUALA NERUS, 19 Feb — Kontinjen Terengganu kini bersiap sedia melakukan persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Johor selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran mengadakan latihan bagi beberapa jenis sukan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya berkata para atlet akan melapor diri secara berperingkat mulai Ahad ini dan latihan akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara ‘kuarantin di kem’.
“Ahad ini seramai 60 atlet daripada sukan judo, bola jaring, pelayaran dan sepak takraw akan lapor diri di dua asrama MSNT yang terletak di Kuala Nerus. Kami tetapkan sebelum masuk ke asrama mereka akan disaring terlebih dahulu.
“Saya pun telah maklumkan kepada semua jurulatih supaya menekankan pematuhan SOP yang telah ditetapkan seperti latihan indoor maksimum 10 orang dan tiada sentuhan. Kami (MSNT) juga akan kawal betul-betul pergerakan atlet. Perjalanan pergi dan balik antara asrama dan pusat latihan hanya menggunakan pengangkutan disediakan MSNT. Mereka (atlet) tidak boleh pergi sendiri. Kami tidak mahu wujudnya kluster melibatkan atlet di Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita di MSNT di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, semua pusat latihan akan sentiasa disanitasi dari semasa ke semasa dan peralatan sukan juga akan disanitasi setiap hari sebelum dan selepas digunakan.
Sementara itu, Ahmad Shahrizal berkata MSNT tetap meneruskan pembayaran elaun atlet dan gaji jurulatih meskipun tiada latihan dijalankan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Terengganu pada tahun lepas dan tahun ini yang berakhir semalam, melibatkan jumlah keseluruhan RM500,000 sebulan.
Peruntukan daripada kerajaan negeri itu melibatkan pembayaran elaun berjumlah RM200,000 kepada 859 atlet dalam 28 jenis sukan dan RM300,000 untuk pembayaran gaji 84 jurulatih.
“Walaupun latihan dijalankan secara maya, kami (MSNT) tidak mengurangkan elaun atlet. Jumlah jurulatih juga tidak dikurangkan dan gaji mereka tetap dibayar setiap bulan tanpa ada pemotongan.
“Dengan bajet RM500,000 sebulan yang diluluskan kerajaan negeri, pembayaran elaun dan gaji ini boleh diteruskan sehingga hujung tahun ini walau apa keadaan sekalipun. Kami tetap menjaga kebajikan atlet dan jurulatih,” katanya.