Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan dibenarkan – KBS
19/02/2021 10:48 PM
KUALA LUMPUR, 19 Feb — Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bermula hari ini.
Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton atau penyokong.
Selain itu, lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan.
KBS menegaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dari semasa ke semasa.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.
“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP tersebut boleh diperolehi di laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.
Berikut adalah butiran SOP terbaharu mengikut kawasan:
Semasa PKP
(i) Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal yang dijalankan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri adalah dibenarkan;
(ii) Aktiviti sukan dan rekreasi mestilah mematuhi penjarakan fizikal 1-3 meter;
(iii) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
(iv) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(v) Penganjuran kejohanan/pertandingan/perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan adalah terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sahaja tanpa kehadiran penonton/penyokong;
(vi) Program Latihan Berpusat secara kuarantin bagi pasukan-pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model Gelembung Sukan (Sports Bubble: Home Based Training atau Camp Based Training);
(vii) Program Latihan Berpusat secara kuarantin yang sedia ada dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis-Majlis Sukan Negeri dilaksanakan dengan konsep “Camp Based Training”;
(viii) Aktiviti bersentuhan fizikal dan permainan/perlawanan termasuk penganjuran kejohanan/pertandingan adalah dilarang kecuali penganjuran Liga MFL, Liga MHL dan Liga STL yang telah mendapat kelonggaran khas daripada KBS;
(ix) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon adalah dilarang.
Semasa PKPB
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/perlawanan;
(ii) Penganjuran kejohanan/pertandingan tempatan dibenarkan dengan kelulusan KBS mengikut model Gelembung Sukan (Sports Bubble) yang telah ditetapkan;
(iii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iv) Kehadiran penonton/penyokong adalah tidak dibenarkan untuk semua aktiviti sukan dan rekreasi;
(v) Pengoperasian fasiliti/premis tertutup dan separa tertutup hendaklah mempunyai kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi;
(vi) Pergerakan untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa;
(vii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.
Semasa PKPP
(i) Semua aktiviti sukan dan rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan bagi tujuan kesihatan, kecergasan, latihan, permainan/ perlawanan dan penganjuran kejohanan/ pertandingan tempatan tanpa kehadiran penonton/penyokong;
(ii) Penganjuran kejohanan antarabangsa tidak dibenarkan kecuali dengan kelulusan khas KBS;
(iii) Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan orang ramai pada satu-satu masa seperti Fun Run, Fun Ride, marathon dan triathlon tidak dibenarkan.