Sindir guru, deejay Hitz FM Sarawak bakal digantung tugas
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri atau DJ Yusuf, 29, berdepan tindakan digantung kerja berikutan rakaman video mempersendakan seorang guru yang dimuat naik di TikTok, baru-baru ini.
Pengurus Besar Astro Radio Malaysia Timur, Hafiz Nizamuddin, berkata syarikat memohon maaf dan meluahkan rasa kesal di atas perlakuan DJ Yusuf.
“Dengan rasa rendah diri, Hitz FM memohon maaf di atas keterlanjuran tingkah laku salah seorang penyampai kami menerusi video yang tular, baru-baru ini.
“Kami memandang serius perkara ini. Pihak pengurusan akan menjalankan siasatan dalaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Video tular itu memaparkan aksi Yusuf mentertawakan guru terbabit yang sedang menyampaikan subjek Sains untuk siaran Didik TV.
Susulan kecaman yang diterima, Yusuf tampil membuat permohonan maaf menerusi entri di Instagram TV (IGTV), petang tadi.
Dalam video berdurasi 2.33 minit itu, Yusuf mengakui tindakan memuat naik video terbabit sebagai perbuatan biadap dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Saya ingin menjelaskan tidak sepatutnya memuat naik video yang jelas menunjukkan saya mempersendakan guru terbabit.
“Dengan penuh keikhlasan, saya ingin memohon maaf kepada cikgu terbabit kerana membuatkan dirinya terasa dan terluka atas perbuatan saya itu,” katanya.
Yusuf turut meluahkan rasa kesal selepas mendapat tahu guru yang dipersendakan bekerja secara sukarela untuk slot berkenaan.
“Saya tidak sepatutnya menjadikan usaha guru terbabit sebagai bahan jenaka. Saya sekali lagi memohon maaf kepada guru terbabit, ahli keluarganya dan semua guru atau sesiapa sahaja yang terguris dengan perbuatan saya itu,” katanya.
Yusuf berharap supaya ada pihak yang dapat membantunya bersemuka dengan guru terbabit bagi menjernihkan keadaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd