STIGMA ‘GILA’ – ISMA YUSOOF AKUI BUKAN MUDAH NAK HAPUSKAN

“Sejujurnya selepas saya buat pengakuan ini (hidap bipolar), Alhamdulillah tidak disisih sebab stesen TV masih panggil saya untuk ‘shooting’, pihak produksi pun ada yang nak bekerjasama dengan saya walau tidak semua.”

“Tapi, tak dinafikan masih ada juga produksi yang takut nak bekerja dengan saya kerana sebelum ini saya ada reputasi buruk, antaranya bila ‘shooting’ tak habiskan sebab masalah kesihatan mental ini.

“Justeru, ia menjadi tugas saya untuk terus ‘melawan’ stigma berkenaan supaya selepas ini orang lain yang ada juga mengalami masalah kesihatan mental diberi peluang untuk pekerjaan bagi membolehkan mereka berdikari dan tidak perlu bergantung dengan keluarga, sampai ada yang dikurung.

“Tapi, yang pasti saya tak ada pun nak sentap dengan orang yang masih menyisihkan saya sebab faham susah sebenarnya nak melawan stigma masyarakat ini kerana sudah berkurun lama hidup dengan pandangan itu dan untuk bawa mereka keluar dari kepompong sedia ada bukan mudah,” kata pengarah dan pelakon, Isma Yusoof, 39.


Baru-baru ini, Isma mendedahkan keadaan kesihatan mentalnya stabil serta tidak bergantung dengan ubat-ubatan kerana dia mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk dikelilingi persekitaran positif serta penuh kasih sayang.

Isma tidak menafikan masih berhadapan cabaran daripada segelintir masyarakat yang mempunyai stigma bahawa mereka yang menghidap penyakit mental, bipolar disorder sepertinya adalah ‘gila’. Menurut Isma, dia bagaimanapun tetap okay dan boleh menerimanya secara positif kerana stigma itu hanya wujud pada kalangan segelintir orang sahaja.

Isma memberitahu yang dia sentiasa percaya jika lebih banyak pengetahuan, ilmu pendidikan dan pendedahan berkaitan masalah kesihatan mental ini difahami masyarakat, semestijya stigma dianggap ‘gila’ itu boleh dihapuskan juga.

Ditanya adakah dia pernah ‘disisih’ berikutan pengakuan berani dibuatnya berhubung penyakit mental, bipolar yang dihidapi sejak 2009 itu, Isma atau nama sebenarnya Muhamad Ismaizal Yusoof menafikan.

Katanya, dia bersyukur dengan pengakuan yang dibuat itu apabila dirinya masih diterima dalam industri seni serta mendapat peluang untuk terus berkarya mengarahkan drama.

Isma berkata dia juga pernah sebelum ini bertindak kasar dengan pelakon, jadi ujarnya nak kata diterima sepenuhnya tidak juga. Menurut Isma, tetap masih ada lagi sesetengah pihak produksi dan orang yang takut dengannya kerana label ‘gila itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *