Kes Annuar Musa: Polis akan panggil saksi


Datuk Saiful Azly Kamaruddin

17/02/2021 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb — Polis akan mendapatkan keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan kes Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata saksi yang akan dipanggil adalah rombongan Annuar dan ahli masyarakat di lokasi majlis itu berlangsung.

Beliau berkata kesemua saksi berkenaan akan dipanggil dalam tempoh terdekat manakala keterangan Annuar berhubung perkara itu telah selesai diambil semalam dan siasatan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar SOP PKP.

“Selepas kertas siasatan lengkap, polis akan merujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,“ katanya kepada pemberita pada sidang media selepas program Hari Bersama Pesara Polis, Bekas Polis dan Petugas Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini.

Media melaporkan pada Ahad lepas, polis memulakan siasatan dakwaan Annuar melanggar SOP PKP selepas gambar beliau bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan dipercayai ketika menghadiri Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan di Kebun Komuniti Bandar, Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat Seri Malaysia di Desa Petaling, tular di laman sosial.

Mengulas mengenai program hari ini, Saiful Azly berkata ia adalah bagi membantu pesara polis, bekas polis dan petugas polis era darurat membuat permohonan bantuan RM500 secara sekali bayar yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata ia bagi membantu pesara, bekas polis dan petugas polis era darurat yang tidak mempunyai kemudahan internet untuk membuat permohonan menerusi sistem e-Pesara di http://[email protected].

“Di Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat 1,774 pesara, dengan 286 orang sudah menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN),” katanya.

Pada 3 Feb lepas, media melaporkan 80,000 pesara, bekas dan petugas polis bakal menerima bantuan itu secara berperingkat mulai Mac hingga November ini apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju memberi bayaran berkenaan kepada mereka yang layak mengikut statut PJPN termasuk mereka yang belum menerima pingat.

Polis kesan dua saksi bantu siasatan kes dadah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker