MASIH TERINGAT TRAGEDI ARWAH DUA ABANG – CIK B TAKUT KEHILANGAN MAMA
"Tragedi ini menyebabkan saya takut untuk kehilangan mama. Saya tidak tahu macam mana hidup tanpa mama. Sebab itu, saya sentiasa mendoakan mama dipanjang umur setiap kali solat.
"Biarlah saya pergi dahulu sebelumnya," itulah kata pelakon dan penyanyi baharu Cik B apabila tragedi kebakaran yang mengorbankan dua abangnya masih sukar dikikis daripada ingatan sehingga menyebabkan dirinya takut kehilangan ibunya, jutawan kosmetik Datuk Seri Vida.
Setiap kali tibanya bulan Ramadan, Cik B dan ibunya pasti akan mengalami trauma apabila tragedi kebakaran yang mengorbankan dua abangnya masih sukar dikikis daripada ingatan. Detik hitam yang berlaku tiga hari sebelum umat Islam meraikan Syawal pada Ogos 2013.
Cik B atau nama sebenarnya, Edlynn Zamileen Mohd Amin, 15, berkongsi sambutan Ramadan dan Syawal mereka sekeluarga suram, lantaran terkenangkan arwah dua abangnya, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang meninggal dunia dalam keadaan berpelukan akibat lemas terhidu asap tebal.
Klik untuk gambar besar
Mengimbau kembali tragedi yang berlaku di kediaman pekerja lelaki ibunya, Cik B yang berusia lapan tahun ketika itu sedang bermain dengan adik bongsu, Muhammad Eric Zaquan atau Kacak. Dia bernasib baik membatalkan hasrat untuk memasuki ke kediaman milik ibunya yang terletak di Meru, Ipoh itu.
Jika tidak, katanya, dia bersama adiknya, Kacak mungkin menjadi mangsa dalam kejadian yang turut mengorbankan seorang pekerja, Mohd Nor Syamil.
"Pada mulanya, saya nampak abu berterbangan, kemudiannya sofa pula dimamah api. Saya segera berlari ke pondok pengawal keselamatan untuk meminta bantuan. Jiran sebelah rumah berbangsa Cina berusaha menggunakan paip air di rumahnya untuk memadamkan api tetapi gagal.
"Saya masih ingat, dua pekerja mama melompat dari tingkat atas untuk menyelamatkan diri. Mereka cuba membantu Eddie dan Edrie yang cuba mahu terjun, tetapi takut. Mereka sebaliknya masuk ke dalam bilik air untuk menyelamatkan diri.
"Ketika ditemui, tiga jenazah iaitu arwah abang bersama pekerja mama saling berpelukan. Namun, jenazah dua arwah abang berada dalam keadaan elok, tidak ada mana-mana bahagian tubuh mereka melecur. Ketika kejadian, mama pula tiada di rumah kerana berada di Pulau Pinang menyampaikan sumbangan Ramadan," imbau Cik B.
Cik B berkata, dua abangnya lengkap berbaju raya kasual, sedangkan mereka tidak mempunyai perancangan untuk ke mana-mana ketika ditemui. Sementara itu, katanya, jam tangan yang dipakai arwah abangnya masih disimpan rapi sehingga kini. Biarpun sudah lama berlalu, bau hangit terbakar masih kuat pada jam tangan disimpan.
Mengenang momen indah bersama dua abangnya itu, Cik B berkata, mereka sangat memanjakannya, memandangkan dirinya satu-satu adik perempuan dalam keluarga.
"Abang pernah menyediakan sup cendawan segera untuk saya ketika bersahur. Mereka memang rajin memasak dan mengejutkan saya sahur kerana pembantu rumah ketika itu bermasalah. Memori ini tidak mungkin dapat saya lupakan hingga akhir hayat," katanya.
Namun, ujar Cik B, dia amat kasihan melihat keadaan ibunya selepas pemergian dua abangnya itu. Ibunya mengalami trauma yang cukup hebat sehingga diserang kemurungan dan kerisauan yang melampau.
Bagaimanapun, kata Cik B, dia bersyukur sanak saudara sentiasa berada di sisi mereka, secara tidak langsung membantu memulihkan semangatnya dan mama.
"Alhamdulillah, emosi kami sudah pulih. Saya bersyukur melalui saat sukar bersama sanak saudara yang sering datang ke rumah untuk menemani. Kehadiran mereka sedikit sebanyak mengubat kesedihan," kata pelakon drama ‘Lelaki Lingkungan Cinta’ itu.