Bekalan Air Di Selangor Kembali Terjejas

 

Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor kembali terjejas apabila loji rawatan air Sungai Semenyih terpaksa menghentikan operasi sekali lagi susulan pencemaran bau pagi tadi.

Air Selangor dalam satu kenyataan di Facebook berkata, bacaan tahap sifar TON (nombor ambang bangar) sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan di Sungai Semenyih pada 6 pagi tadi.

“Air Selangor kini dalam proses memulakan proses rawatan air di loji rawatan air Sungai Semenyih dan semua kawasan terjejas adalah sama seperti senarai kawasan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini,” kata Air Selangor.

Katanya, 463 kawasan itu membabitkan 172 di Petaling, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) yang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan yang terjejas dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” tambahnya lagi.

Selasa lalu, media melaporkan sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan loji rawatan air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri memaklumkan pencemaran bau yang telah dikesan itu membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi.

fmt



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button