‘Saya letak jawatan, bukan bersara’

Oleh – Syeikh Baran


'Saya letak jawatan, bukan bersara'
Gambar fail. Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menjelaskan beliau tidak bersara daripada menjadi Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sebaliknya meletakkan jawatan.

Beliau berkata, mengikut kontrak, tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi LTAT akan tamat pada Ogos tahun ini.



Raja Mohamed Affandi dilantik menjadi Pengerusi LTAT pada 3 Ogos 2021, menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

“Saya bukan bersara, saya meletakkan jawatan. Dipecat, bersara dan meletakkan jawatan adalah berbeza. Jadi bila kita meletakkan jawatan pasti ada perbezaan,” katanya kepada BH bagi mengulas mengenai kenyataan media yang dikeluarkan LTAT mengumumkan beliau bersara daripada jawatan Pengerusi LTAT.

Ditanya sama ada isu berkaitan penstrukturan semula dan tadbir urus kumpulan menjadi punca beliau meletakkan jawatan, Raja Mohamed Affandi tidak mengulas secara lanjut, sebaliknya menyatakan adalah perlu untuk memelihara keberadaan institusi LTAT dengan sebaiknya.

Dalam kenyataan media bertarikh 8 Februari 2024, LTAT mengumumkan persaraan Raja Mohamed Affandi daripada jawatan Pengerusi, berkuat kuasa hari itu.



LTAT dalam kenyataan itu berkata, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi, yang bermula pada 2021, ditandai oleh komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.

Ia berkata, kepimpinan beliau adalah penting dalam melakar pencapaian bermakna, terutama mendapatkan kelulusan bagi pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), yang disasarkan untuk memperkasakan rangka kerja tadbir urus korporat LTAT.

Katanya, di bawah kepimpinan Raja Mohamed Affandi, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.

Pengumuman yang dibuat LTAT itu dibuat hanya kira-kira seminggu selepas Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Januari lalu.



Pada 5 Februari lalu, LTAT mengeluarkan kenyataan yang menegaskan ia kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang dimandatkan oleh Akta 101.

Penjelasan itu adalah selepas laporan sebuah portal berita yang mengaitkan pengunduran Ahmad Nazim sebagai tindak balas kepada penangguhan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading