Kejuaraan kali kelapan berturut-turut dilakar JDT

 

 

KEJAYAAN dicatat pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) mengungguli kejuaraan Liga Super 2021 kali kelapan berturut-turut menarik perhatian pelbagai pihak.

Pencapaian dilakar pasukan Harimau Selatan itu turut mendapat pujian Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mengucapkan tahniah kepada pasukan atas prestasi cemerlang yang dipamerkan.



Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen pasukan dan kerja keras pemiliknya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bekerja keras membangunkan pasukan sehingga ke tahap ini.

“Sudah tentu penghargaan ini harus diberikan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor atas kejayaan demi kejayaan diraih JDT dalam dan luar padang hasil kerja keras baginda membangunkan JDT sehingga menjadi satu jenama yang gah di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook peribadinya bagi menzahirkan ucapan penghargaan atas kejayaan yang dilakar JDT.

Semalam, pasukan JDT dinobat sebagai juara Liga Super 2021 buat kali kelapan berturut-turut selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.



Kemenangan ke-18 dicatat JDT dalam kempen musim 2021 itu meletakkan skuad Harimau Selatan berkelebihan 14 mata di hadapan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman FC setelah mengumpul 57 mata menerusi 22 perlawanan.

Hasni dalam pada itu turut mengucapkan tahniah kepada pengendali skuad JDT, Benjamin Mora yang merupakan tulang belakang bagi pasukan JDT dan para pemain yang sentiasa bertungkus lumus memastikan kejuaraan terus kekal milik Harimau Selatan.

Hasni  berkata para peminat JDT yang bukan sahaja di Johor malah di seluruh dunia juga wajar diberikan penghargaan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Kejayaan yang diraih JDT wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh masyarakat bahawa ia tidak datang bergolek, tetapi memerlukan usaha dan komitmen jitu dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button