Rahib menari dengan ‘rangka manusia’ cetuskan persoalan
SELAIN kerangka manusia, anak patung turut dijadikan perantara di dalam ritual menghalau semangat jahat.
PERLAKUAN aneh seorang wanita dilihat menari dengan prop kerangka manusia di sebuah tanah perkuburan di Hull, timur Yorkshire, baru-baru ini mencetuskan tanda tanya orang ramai.
Penampilan pelaku berpakaian seperti rahib sudah menarik perhatian ramai, malah tindakannya bermain seperti sedang menari dengan rangka itu, membuatkan orang awam di kawasan tersebut kebingungan.
Selain prop rangka manusia yang biasa dilihat di makmal, objek lain yang turut kelihatan bersamanya adalah rangka seekor haiwan seperti anjing yang diletak di sisinya seolah-olah sedang mengawal keadaan di sekeliling.
Salah seorang saksi di tempat kejadian berkata, dari luar, kelihatan wanita itu berdiri atas tanah perkuburan yang bertentangan pintu masuk sekolah Hymers.
“Dia seolah-olah menari dengan rangka itu dan aksinya jelas menarik perhatian ramai orang hingga ada yang sanggup berhenti untuk menontonnya,” kata lelaki yang tinggal di kawasan berhampiran tempat kejadian itu.
Insiden yang berlangsung selama lebih 30 minit itu, dilaporkan telah dirakam oleh seorang individu yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum pukul 12 tengah hari
Dilaporkan bahawa insiden aneh itu dirakam oleh seorang individu yang berada di tempat kejadian sebelum pukul 12.00 tengah hari, Ahad lalu.
Ramai dalam kalangan orang awam yang berada di kawasan sekitar menyifatkan aksi wanita tersebut berkemungkinan adalah sebahagian daripada lakonan atau rakaman untuk projek tertentu.
Malah tidak kurang juga yang beranggapan bahawa suatu ritual pemujaan atau penyembuhan sedang dilakukan oleh wanita itu yang didakwa mempunyai kuasa majis dan mampu berhubung dengan hidupan ghaib.
Namun, sehingga berita ini dilapor oleh Metro.co.uk masih belum diketahui mengenai apa sebenarnya berlaku ketika itu, sehingga mendorong wanita ‘ala Rahib’ itu mempamerkan aksi luar biasa tambahan pula di tanah perkuburan.