Rita pertahan pendirian, tolak ambil vaksi

PELAKON, Rita Rudaini tegas mempertahan pendirian tidak mahu mengambil suntikan vaksin yang disifatkannya adalah pilihan peribadi dan tidak sepatutnya dipertikai oleh sesiapa.

Malah katanya, tidak kisah dan menerima dengan hati terbuka jika namanya digugur dari mana-mana produksi hanya kerana keengganannya mengambil vaksin.

Ujar pelakon teledrama Shah Alam 40000 itu lagi, dia percaya yang rezeki tuhan tetapkan dan sekalipun drama 100 episod namanya digugurkan, dia terimanya kerana sudah tertulis oleh Allah sebegitu.

“Ada rakan industri fitnah cakap tengah shooting tetapi saya tak ambil vaksin, kecoh dok menjaja. Alahai sabarla wahai teman jangan takut dengan rezeki awak.

“Rezeki awak dengan rezeki saya tidaklah sama. Tuhan dah asingkan dah. Tak payah nak berebut wahai teman,” tulisnya dalam satu hantaran di akaun Instagram Story miliknya.

Dalam catatan panjang itu, Rita sempat memaklumkan tindakan seorang rakan artis telah menabur fitnah mendakwa kononnya dia kini sedang menjalani penggambaran walaupun belum mengambil vaksin.

Walhal jelas Rita, dia bersenang-lenang di rumah menjalani kehidupan hariannya seperti biasa, sambil sempat berpesan kepada rakan artis terbabit supaya tidak risau akan ketentuan rezeki kerana itu segalanya ditetap oleh Allah S.W.T.

“Jadi percayalah, apa yang dengki sangat dengan saya. Masing-masing rezeki Allah sudah tetapkan tidak perlu berebut pun mengenainya,” kata Rita.

Sementara itu, sekitar Julai lalu, Rita membuat kenyataan berani dengan mengakui dia enggan mengambil vaksin dengan tegas mempertahankan haknya untuk tidak ambil suntikan pelali COVID-19 itu.

Selain itu, dia juga menyokong kenyataan dibuat pelakon Lana Nordin yang menggesa Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meletak jawatan gara-gara kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Katanya, setiap individu mempunyai hak untuk menyatakan pendapat mengenai apa isu sekalipun, namun jangan hanya kerana Lana selebriti, kenyataannya itu sengaja diperbesarkan netizen.

“Pendapat yang diutarakan Lana itu juga jelas berdasarkan pemerhatian sepanjang dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara,” ujarnya

Leave a Reply