Sultan Johor kecewa dengan Menteri Dalam Negeri

KYDMM SULTAN JOHOR



SULTAN IBRAHIM KECEWA KEMENTERIAN DALAM NEGERI ENGGAN SEMAK SEMULA SYARAT KETAT MM2H

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa Baginda terhadap Kementerian Dalan Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.

Baginda turut bertitah akan membangkitkan perkara ini secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat, memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.



Baginda Tuanku Sultan bertitah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah diluar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak Kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan, dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (17 September).

DYMM Sultan Ibrahim bertitah keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif, memandangkan Program MM2H sebelum ini membawa kesan positif kepada ekonomi negara.

“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi Malaysia dan begitu juga kepada rakyat serta kerajaan. Jika sekarang kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuathiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia,” tegas DYMM Sultan Johor.

“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serta pertimbangan dari kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” titah Baginda.

#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker