Warga emas meninggal terduduk depan rumah kedai
Seorang warga emas ditemui meninggal dunia di hadapan deretan rumah kedai, dekat Padang Temusu, di sini kira-kira jam 8.45 pagi Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian menerusi satu panggilan telefon memaklumkan penemuan lelaki terbabit di Kilometer 64, Jalan Alor Setar-Butterworth.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan lelaki warga emas itu yang berusia 73 tahun dalam keadaan terduduk, turut ditemui di samping mangsa ialah sebuah basikal disyaki miliknya.
“Hasil maklumat diperoleh mendapati mangsa yang tinggal seorang diri di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian itu bekerja sendiri selain menerima bantuan orang ramai,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa difahamkan adalah seorang penagih dadah tegar, bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan.
“Pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan Covid-19 akan dibuat sebelum proses bedah siasat dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda telah melakukan sanitasi di lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.
sinar