Negeri Sembilan Juara Liga Perdana 2021

 

Negeri Sembilan memuktamadkan kejuaraan Liga Perdana 2021 selepas 10 tahun kemarau trofi dengan menundukkan PDRM 4-2 di Stadium Paroi, semalam.

Kejayaan manis itu juga dirakam selepas tiga musim berjuang dalam divisyen kedua Liga Malaysia (Liga-M).

Gol daripada R Baratkhumar dan jaringan sendiri oleh Eskandar Ismail dalam separuh masa pertama memberi kelebihan awal buat skuad NS.

Sebelum penyerang import, Alain Akono, menjadikan kedudukan 3-0 sebaik seminit melewati sejam permainan.

Namun, dua jaringan dalam masa lapan minit daripada oleh pemain PDRM, D Ganasan dan Azrie Reza Zamri, selepas itu tidak menggugat.

Dua minit selepas Azrie menggegar gawang lawan pada minit ke-74, larian deras Fahmi Faizal mengukuhkan lagi kelebihan Negeri Sembilan.

Tuan rumah seharusnya bertambah selesa tetapi penjaga gol The Cops dapat menduga dengan tepat sepakan penalti ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, ke sudut kiri pintu golnya.

Dua lagi pencabar terdekat, Sarawak United dan Terengganu II, pula gagal mencatat mata penuh pada malam tadi.

Sarawak United terpaksa akur berkongsi mata dengan Johor Darul Ta’zim II yang bangkit menerusi gol Stuart Wilkin pada minit ke-84 untuk memadam jaringan Uche Agba seawal minit ke-4.

Hasrat Terengganu II untuk melakar kejutan juga tidak kesampian apabila tumbang 0-1 dalam kunjungan ke Kelantan United.

awani

Leave a Reply