Telur pula naik harga ke paras tertinggi
Selepas merekodkan harga runcit tertinggi pada bulan lalu, telur ayam sekali lagi melakar sejarah apabila dijual pada harga paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun.
Menurut data terbaharu yang diterbitkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) hari ini, harga runcit bagi sebiji telur ayam gred A, B dan C masing-masing dijual 45 sen, 43 sen dan 40 sen.
Kedudukan terkini itu juga mengatasi paras direkodkan agensi itu setelah disahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada bulan lepas iaitu 44 sen, 41 sen dan 39 sen.
Begitu juga dengan harga runcit sebiji telur itik saiz besar pada bulan ini yang mencatatkan kadar tertinggi tahun ini iaitu 91 sen, namun saiz sedang jatuh satu sen kepada 79 sen sahaja.
Paras tertinggi harga sebiji saiz besar pernah direkodkan 90 sen pada Mac manakala kadar terendah 82 sen pada Jun lalu, manakala saiz sedang pula paling mahal 80 sen bulan lepas.
Dalam pada itu, harga runcit daging lembu jenis pejal pada bulan ini turut melonjak kepada RM37.75 sekilogram dan mengatasi paras tertinggi pernah direkodkan RM37.45 pada Julai.
Bagaimanapun, daging lembu jenis cincang pula didapati JPV kembali merosot pada bulan ini dengan cuma dijual runcit RM23.50 sekilogram berbanding bulan lalu sebanyak RM24.10.
Sementara harga runcit bebiri import di pasaran domestik pula mencatatkan kenaikan sedikit sepanjang bulan ini iaitu RM31.30 sekilogram berbanding pada bulan lepas hanya RM30.10.
Untuk rekod, harga paling tinggi bagi haiwan ruminan itu dicatatkan JPV pada Jun lalu iaitu RM31.95 sekilogram, manakala paras terendah sepanjang tahun ini RM28.15 pada Januari.
Namun, harga runcit daging kerbau yang kelaziman dijual sebagai pejal diimport dari India pula merosot sedikit kepada RM22.20 sekilogram berbanding pada bulan lalu iaitu RM22.85.
Manakala harga runcit daging kambing tidak berubah iaitu RM49.60 sekilogram seperti bulan lalu, tetapi dianggap masih lagi tinggi untuk rekod pada sepanjang tahun ini.
-UTUSAN ONLINE