Kampung Seri Jaya Baru dilanda banjir merah
Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di sini pagi ini bukan sahaja mengejutkan penduduk kerana air memasuki rumah mereka dengan cepat namun turut digemparkan dengan aliran air berwarna merah.
‘Fenomena’ itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Maya Ali yang memuat naik beberapa keping gambar memaparkan pekarangan rumahnya di kampung berkenaan dipenuhi air berwarna merah.
“Banjir Merah. Memang betul-betul kejadian, bukan mainan (main-main). Hujan lebat dari awal pagi tadi menyebabkan rumah kami dan penduduk sekampung mengalami banjir kilat.
“Tak tahu dari mana punca air merah ini. Mohon pihak berwajib dapat membuat siasatan,” tulisnya pada hantaran yang dimuat naik kira-kira tiga jam lalu.
Bagaimanapun, seorang penduduk, Azmi Misni, 54, yang juga bekas Ketua Kampung Pasir berkata, kejadian air banjir bertukar menjadi warna merah dipercayai berpunca daripada sebuah kilang tekstil berhampiran kampung berkenaan.
“Kilang tekstil ini sudah lama tutup iaitu hampir 10 tahun macam itu, apabila kita pergi siasat warna itu didapati berpunca dari situ.
“Kemungkinan tong mengandungi bahan pewarna merah terbalik dan tumpah hingga sebabkan air banjir bertukar warna warna,” katanya.
Azmi yang juga Ketua Biro Komunikasi Parlimen Pulai berkata, pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bomba telah melakukan pemeriksaan ke atas kilang tersebut.
Katanya, kerja-kerja membersihkan kesan tumpahan itu dilakukan agar tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Malah, kejadian banjir kilat di kampung berkenaan juga telah pulih setelah air kembali surut.
UTUSAN