Pelancong pertama sah covid di Langkawi

 

Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun menjadi individu pertama yang disahkan positif COVID-19 membabitkan kumpulan pelancong yang berkunjung ke Langkawi selepas pulau peranginan itu dibuka bagi projek rintis gelembung pelancongan, bermula 16 September lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo menyatakan hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati kanak-kanak terbabit bersama ibu dan bapanya tiba di Langkawi sekitar jam 7.30 malam, 24 September lalu menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur daripada ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebelum berlepas ke Langkawi adalah negatif.

Kedua-dua mereka juga disahkan menerima vaksinasi lengkap selain tidak dijangkiti atau menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti COVID-19 manakala kanak-kanak itu juga tidak mengalami sebarang gejala.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kanak-kanak itu mula mengalami demam pada Sabtu, dan dibawa mendapatkan rawatan pada Ahad sebelum disahkan positif COVID-19.

Tambah Dr Othman, siasatan lanjut mendapati, tiga orang saudara yang juga penduduk tempatan Langkawi telah menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak terbabit selain ibu dan ayahnya.

Kelima-lima kontak rapat itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan hasil saringan mendapati kesemua mereka negatif selain diberikan arahan kuarantin selama 10 hari.

Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

Setakat itu, kanak-kanak terbabit mengalami gejala ringan dan diletak di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Langkawi.

JKN Kedah serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi juga akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu dan akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilakukan secara berterusan.

Sehingga 30 September 2021, hanya satu kes positif dilaporkan membabitkan pelancong ke Langkawi dan tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga atau penduduk tempatan berlaku.

Awani

Leave a Reply