“Saya lembut dengan rakyat” -Rayer
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengakui dirinya agak lantang dan dipandang “nakal” ketika di dalam Dewan Rakyat, namun ujarnya apabila di luar Parlimen sikapnya lebih lembut terutama sekali dalam menyantuni rakyat.
Rayer berkata, beliau mendapati bahawa apabila bergelar sebagai Ahli Parlimen pembangkang, maka peluang dan ruang yang diberikan adalah terhad, justeru menurutnya terdapat keperluan untuk lebih lantang mengemukakan persoalan yang melibatkan isu rakyat.
“Mungkin sikap saya dalam Parlimen agak lantang tegas dan mungkin dipandang nakal tetapi di luar dengan rakyat saya lebih mesra.
“Dalam kalangan rakyat saya lebih lembut tidak pernah berlaku bertegang urat,” katanya pada Live Facebook Borak Dahsyat – Kenapa Bising Dalam Parlimen?, semalam.
Ditanya berkenaan pindaan dan penambahbaikan peraturan di Dewan Rakyat, beliau berkata ia sesuatu perkara yang perlu diberi perhatian dan mampu dilaksanakan.
Mengambil contoh perbahasan pada 28 Sept lalu, apabila beliau tidak dibenarkan mencelah ketika Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak berbahas mengenai cukai GST dan SST, ujarnya ia adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
“Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 YB Pekan (Najib) telah pun mengemukakan perbahasan, beliau mencadangkan pengembalian GST dan cukai-cukai lain.
“Ketika beliau berucap dalam satu majlis beberapa tahun lalu, beliau ada berkata membayar cukai kepada LHDN adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat, tetapi sendiri tak bayar,” katanya.
Jika dilihat mengenai senario yang berlaku ketika itu, menurut Rayer jika perbahasan seseorang Ahli Parlimen itu tidak bernas serta mengelirukan, maka Speaker sewajarnya memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mengemukakan pandangan.
“Saya percaya bahawa peraturan-peraturan dewan boleh ditambah baik untuk membenarkan kami sebagai ahli Dewan Rakyat pembangkang untuk mengemukakan pandangan kami di atas perkara itu, bukanlah niat kami untuk melawan speaker,” ujarnya.
FMT