Mutakhir kes dadah Zarina Anjoulie

Zarina Anjoulie

 

Selebriti sensasi, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini, pagi tadi, bagi sebutan semula kes pendakwaan atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine pada Jun lalu.

Dia yang mengenakan jubah dan selendang berwarna hitam tiba di Kompleks Mahkamah Seremban, di Seremban 2, di sini, jam 8.40 pagi.

Bagaimanapun, Majistret Mohd Firdaus Salleh memerintahkan sebutan semula kes Zarina ditetapkan pada 11 November ini selepas proses penyerahan dokumen selesai dilakukan hari ini.

Peguam yang mewakili Zarina, Ahmad Faiz Munawar berkata, prosiding pada kali ini hanya penyerahan dokumen saja.

“Mahkamah menetapkan 11 November depan sebagai tarikh sebutan untuk dokumentasi. Kita akan meneliti dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan dan menghantar representasi ke Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

“Kemungkinan pada tarikh yang sama kita akan mendapat keputusan atau akan dilanjutkan,” katanya ketika ditemui sejurus prosiding, hari ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zainol Hashimi.

Selain Ahmad Faiz, Zarina Anjoulie turut diwakili peguam Fadhli Sutris.

Zarina didakwa di Mahkamah Majistret pada 13 September lalu atas pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine pada Jun lalu.

Bagaimanapun, selebriti berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Mengikut pertuduhan, Zarina didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis berkenaan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Zarina diikat jamin sebanyak RM2,000.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai jam 9.15 malam.

metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button