Sedia depani PRN, namun PPBM kesal tindakan 4 ADUN
IDIHAYS.SB
WALAUPUN menyatakan kesediaan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November depan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kesal tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu.
Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tarik sokongan kepada kerajaan semasa didalangi seorang ADUN Umno juga bekas Ketua Menteri itu penybab situasi politik tidak kondusif itu berlaku.
Beliau berkata, PPBM sebolehnya tidak mahukan situasi seperti itu (jatuhkan kerajaan negeri) berlaku kerana sekarang bukan masa yang sesuai sebaliknya perlu tumpukan kepada rakyat.
“Pada PPBM, kita sebolehnya tidak mahu PRN ini, sebab ini bukan masalah yang ditimbulkan oleh kita. Jadi saya kesal dengan tindakan dilakukan oleh 4 orang ADUN sebabkan situasi ini berlaku.
“Kita sebolehnya tidak mahu suasana ini berlaku, sekarang adalah masanya rakyat dijaga, kebajikan dan kesihatan rakyat dijaga dan ekonomi negara dibangunkan semula, itu sepatutnya fokus kita masa ini,” katanya kepada My-news.online.
Tindakan empat ADUN itu menarik sokongan atau hilang kepercayaan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyaksikan sekali lagi kerajaan negeri tumbang selepas 18 bulan menggantikan kerajaan Pakatan Harapan di Melaka.
Empat ADUN terbabit Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Dato Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas).
Dalam pada itu, Wan Saiful, menjelaskan disebabkan insiden itu telah berlaku dan mereka kini terpaksa hadapi realiti dan akan bertanding di PRN Melaka yang bakal diadakan nanti.
Katanya, PPBM sebolehnya mahu gabungan yang ada (Perikatan Nasional) peringkat Persekutuan ini dapat dikekalkan di PRN Melaka nanti.
“Saya masih harapkan supaya masih ada ruang untuk kita berunding dengan sihat dan baik, kerana yakin jika kita boleh menjaga kesatuan parti politik dengan teras Melayu Islam terutamanya, kita ada peluang besar menang dengan sihat di Melaka dan berkhidmat kepada rakyat.
“Bagaimanapun, saya perlu sebut bahawa kalau ada mana-mana pihak bertegas tidak mahu berbincang dan berunding, atas apa saja alasan diberi, maka PPBM melalui PN bersedia bertanding dalam PRN atas apa juga kombinasi sesuai,” katanya.