Linda Onn bercerita pasal periuk satu jam
program tePengacara dan ikon penyampai radio terkenal, Linda Onn, 44, mengaku tidak mudah untuk mengendalikan sebuah program televisyen berkonsep jual beli berbanding program berbentuk hiburan dan sebagainya.
Menurut Linda, sering kali ramai beranggapan tugas pengacara yang terlibat dalam program seperti itu terlihat mudah sedangkan program televisyen dengan konsep tersebut sebenarnya mempunyai satu standard lain yang menguji kemahiran dan pengalaman mereka sebagai hos.
“Contohnya ketika saya mengendalikan program jual beli Go Shop di kaca televisyen. Selama satu jam itu, kita bukan sahaja sebagai hos, tetapi kita sedang menjual. Bila sedang menjual dan kita tengok pula wajah-wajah vendor yang berada di set dan mengharapkan agar produk mereka dapat terjual, tentulah ia satu cabaran.
“Itu sebenarnya satu tanggungjawab yang besar, untuk memastikan vendor suka dan produk mereka laku. Tidak mudah dan bukan semua orang boleh lakukan itu.
“Bukan setakat jual barang, tapi sejam nak cerita pasal produk itu, contohnya periuk. Bolehkah? Itulah tugas yang digalas oleh hos seperti kami,”katanya.
Linda berkata demikian dalam satu sidang media Ulang Tahun ke-7 Go Shop yang diadakan secara virtual baru-baru ini.
Selain itu, kata Linda, di sebalik cabaran itu, dia bagaimanapun melahirkan rasa gembira apabila setiap kali berjaya membantu melariskan sesebuah produk menerusi platform jual beli itu.
“Tidak dinafikan, ia bagaikan satu kepuasan dan kegembiraan apabila kita sebagai hos, dapat membantu peniaga lain untuk melariskan barangan dagangan mereka di platform tersebut.
“Kita bukan setakat menjual, tetapi juga dapat berkongsikan manfaat dan kebaikan sesuatu barangan itu secara terus kepada penonton.
“Lebih menariknya, bukan sahaja orang di bandar, perkongsian kita tentang barangan itu juga dapat diterima oleh orang-orang yang duduk di luar bandar melalui tontonan televisyen,”katanya.
utusan