Tentera Taliban berarak pamer aset ketenteraan

Tentera Taliban berarak pamer aset ketenteraan
Foto yang dirakamkan pada 1 September 2021 menunjukkan pejuang Taliban meraikan pengunduran tentera Amerika Syarikat di Kandahar, Afghanistan. – Foto EPA

Tentera Taliban berarak pamer aset ketenteraan

KABUL: Pejuang Taliban mengadakan perarakan ketenteraan di Kabul menggunakan kenderaan perisai buatan Amerika Syarikat (AS) dan helikopter Russia yang dirampas bagi mempamerkan transformasi daripada pemberontak kepada pasukan tentera.

Taliban beroperasi sebagai pemberontak selama dua dekad dan kini menggunakan stok senjata dan peralatan yang ditinggalkan bekas kerajaan disokong Barat yang tumbang Ogos lalu.

Pejuang itu kini berusaha membaik pulih pasukan ketenteraan mereka.



“Perarakan itu diadakan sempena tamat latihan 250 tentera askar yang baru dilatih,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Enayatullah Khwarazmi.

Latihan itu membabitkan puluhan kenderaan keselamatan perisai M117 buatan AS yang dipandu di jalan utama di Kabul manakala helikopter MI-17 berkawal di udara.

Tentera Taliban dilihat membawa senapang M4 buatan AS.

Kebanyakan senjata dan peralatan yang digunakan oleh tentera Taliban ketika ini dibekalkan Washington kepada kerajaan terdahulu yang disokong AS dalam usaha membina pasukan kebangsaan Afghanistan yang mampu memerangi Taliban.



Pasukan itu berkubur selepas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani meninggalkan negara itu yang menyaksikan Taliban mengambil alih semua aset tentera utama.

Pegawai Taliban berkata juruterbang, mekanik dan pakar lain yang juga bekas anggota Tentera Nasional Afghanistan akan diserap dalam pasukan baharu, yang juga telah mula memakai pakaian seragam tentera menggantikan pakaian tradisi Afghanistan yang biasa dipakai oleh pejuang mereka.

Menurut laporan akhir tahun lalu oleh Ketua Pemeriksa Khas untuk Pembangunan Semula Afghanistan (SIGAR), kerajaan AS memindahkan peralatan dan perkhidmatan pertahanan, termasuk senjata, peluru, kenderaan, peranti penglihatan malam, pesawat dan sistem pengawasan bernilai lebih AS$28 bilion (RM116.47 bilion) kepada kerajaan Afghanistan dari 2002 hingga 2017.

Beberapa pesawat diterbangkan ke negara jiran di Asia Tengah oleh tentera Afghanistan, namun Taliban masih mewarisi beberapa pesawat lain. Masih tidak jelas berapa banyak yang beroperasi.



Ketika tentera AS meninggalkan negara itu, mereka memusnahkan lebih 70 pesawat, puluhan kenderaan perisai dan pertahanan udara yang rosak sebelum terbang keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul dalam operasi pemindahan yang kelam kabut. – AGENSI

Tentera Taliban berarak pamer aset ketenteraan




Related Articles

Leave a Reply

Back to top button