Remaja lemas ketika mandi di kawasan takungan

Oleh – Syeikh Baran


Remaja lemas ketika mandi di kawasan takungan
Penduduk kampung menjalankan operasi mencari mangsa di dalam kawasan perlombongan pasir di Kampung Bagan, Pulai Chondong dekat Machang semalam. -Foto PDRM

Kegembiraan sekumpulan enam remaja bermandi-manda di dalam kawasan perlombongan pasir di Kampung Bagan, Pulai Chondong di sini semalam berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Fahmi Adlan Mohd. Faizul Azli,17, dijumpai selepas penduduk kampung menjalankan usaha mencari remaja tersebut selama 10 minit.



Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan mendapati, mangsa bersama lima rakannya keluar mandi ke kawasan pam pasir di Kampung Bagan sini kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Menurutnya, semasa sedang mandi, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Pangkal Gong di sini bersama seorang rakannya berenang untuk mengambil baju hanyut di kawasan dalam.

“Mohamad Fahmi Adlan dan rakannya tiba-tiba tenggelam. Rakannya sempat diselamatkan, namun mangsa tidak dapat dikesan ekoran tidak timbul dari permukaan air.

“Rakan-rakan mangsa yang lain bergegas memaklumkan kejadian itu untuk meminta bantuan daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Ahmad Shafiki memberitahu, Mohamad Fahmi Adlan kemudiannya dijumpai selepas kira-kira 10 minit usaha pencarian dijalankan oleh penduduk kampung.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulai Chondong.

Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa disebabkan oleh lemas.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button