Masih ada peniaga kekalkan harga ayam & sayur

 

Walaupun harga ayam dan sayur-sayuran naik, namun ada segelintir penjual barangan keperluan harian di Kelantan sedaya upaya cuba mengekalkan harga yang rendah bagi membantu masyarakat.

Hasil tinjauan di sekitar Bachok dan Kota Bharu mendapati ayam dijual dengan harga antara RM7.50 sehingga RM7.90 sekilogram, manakala sayur-sayuran seperti sawi di bawah RM5 sekilogram.

Peniaga ayam, Azwan Che Mat, 31, yang menjual ayam dengan harga RM7.90 sekilogram berkata, dia mengambil untung sedikit kerana mahu membantu penduduk kampung.



Katanya, walaupun mendapat bekalan ayam dengan harga yang tinggi, namun dia tidak mahu mengambil keuntungan yang banyak.

“Saya mahu membantu penduduk kampung yang terjejas supaya mampu membeli ayam memandangkan banyak barang keperluan harian sudah naik harga.

“Alhamdulillah hasil jualan yang murah ini dapat menarik lebih ramai pelanggan apabila saya mampu menjual sehingga 500 ekor ayam sehari,” katanya ketika ditemui di kedainya di Peringat di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, bekalan ayam diperolehnya daripada pembekal di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan beberapa daerah lain.

Sementara itu, peniaga sayur, Nur Farahani Abd Karim, 20, berkata, harga sayur-sayuran di kedainya masih lagi rendah apabila dapat menjual sawi dengan harga RM5 sekilogram, tomato RM5 sekilogram, cili merah RM12 sekilogram dan beberapa sayur lain juga dengan di bawah harga siling.

Katanya, ketika ini, harga sayur-sayuran yang diperolehnya daripada pemborong sangat tinggi, namun sebagai penjual dia tidak mahu memberi beban kepada pelanggan dengan menjual dengan harga yang mahal.

“Untung 50 sen sekilogram sudah cukup bagi saya asalkan barang yang diambil ini habis. Jika tidak dijual sayur-sayuran ini lama-lama akan jadi busuk.

“Lebih baik saya jual dengan harga yang murah, asalkan sayur-sayuran ini laris,” katanya ketika ditemui di Jelawat, Bachok.

metro

Leave a Reply