Rusia bayar pampasan RM1.7 juta

 

Kerajaan Rusia telah diperintahkan untuk membayar pampasan berjumlah lebih €370,000 (RM1.7 juta) kepada seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan tangannya ditetak oleh suaminya, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah berkata, Rusia telah gagal memerangi keganasan rumah tangga dan mengarahkan negara itu untuk membayar pampasan kepada empat wanita yang diserang dengan kejam.

Salah seorang daripadanya ialah Margarita Gracheva, yang diculik oleh suaminya pada 2017 sebelum lelaki itu menyerangnya dan menetak tangannya menggunakan kapak.

Tangan kirinya yang putus bagaimanapun telah dijahit semula.

Menurut laporan, wanita itu sudah memberitahu polis tentang tingkah laku agresif suaminya namun aduannya tidak diendahkan oleh pegawai.

Mahkamah berkata, kes Gracheva menunjukkan bagaimana undang-undang Rusia membuktikan pihak berkuasa gagal mengesan penderaan domestik, sehingga ia meningkat dan menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 2017, Presiden Rusia, Vladimir Putin, menandatangani undang-undang yang meringankan hukuman bagi keganasan rumah tangga.

Di bawah undang-undang itu, bagi kesalahan pertama di mana mangsa tidak dimasukkan ke hospital, ia tidak dianggap sebagai kesalahan jenayah, serta hukuman turut dikurangkan.

– AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button