Harga ikan naik tiga kali ganda kerana cuaca

harga ikan di Pasar Alor Setar 3/1/2022

 

Laut bergelora dan cuaca tidak menentu menyebabkan harga ikan di negeri ini melambung hampir tiga kali ganda, sejak dua minggu lalu.

Ikan temenung atau ikan kembung yang menjadi antara menu harian penduduk didapati dijual antara RM13 hingga RM17 sekilogram, berbanding hanya RM5 sekilogram awal bulan lalu.

Peniaga ikan, Khairul Nizam Othman, 42, berkata bekalan ikan yang berkurangan menyebabkan peniaga di Pasar Besar Alor Setar terpaksa mengurangkan jumlah tempahan ikan hampir 70 peratus.

“Dahulu saya dapat jual ikan temenung kira-kira 500 kilogram (kg) sehari. Tetapi sejak dua minggu lalu, saya hanya jual antara 100 hingga 200 kg sehari.

“Bekalan ikan yang diterima berubah harga setiap hari. Sebelum ini saya pernah jual sehingga RM17 sekilogram, tetapi kelmarin turun RM15, Semalam RM14 dan hari ini pula RM13. Walaupun saya jual pada harga RM17, namun saya hanya untung tipis, sama seperti hari ini.

“Ramai pelanggan merungut, namun mereka tetap beli. Cuma kuantitinya sedikit berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Khairul Nizam berkata, bekalan ikan pada musim tengkujug kali ini paling sedikit sejak mula berniaga di pasar itu 18 tahun lalu.

Pelanggan, Rokiah Kulup, 67, berkata dia hanya membeli ikan untuk makan sehari berikutan kenaikan harga ikan yang tidak menentu.

“Dengan harga ikan sekarang saya tak mampu beli banyak. Kadang-kadang beli tiga empat ekor saja, tidak sampai setengah kilogram. Cukuplah untuk makan saya dan seorang anak yang duduk bersama di rumah.

“Saya juga tidak beli ikan untuk disimpan lama di dalam peti ais. Jika harga terus meningkat, mungkin saya akan selang-seli beli ikan yang diternak seperti keli atau tilapia kerana harganya masih rendah,” katanya.



 

CUACA TIDAK ELOK


Sementara itu, nelayan di Tanjung Dawai, Adam Hussin, 38, berkata dia hanya dapat keluar menangkap ikan di laut dua kali dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, berikutan keadaan cuaca tidak elok ketika ini.

Katanya, walaupun harga hasil laut tinggi ketika ini, namun dia perlu memikirkan keselamatan diri berikutan mempunyai keluarga yang perlu ditanggung.

“Jika tidak silap saya, harga udang gred A kini mencecah RM65 sekilogram berbanding hanya RM50 sekilogram sebelum ini. Tapi apakan daya, ramai nelayan pantai sekarang tidak dapat keluar ke laut.

“Saya kini terpaksa berhutang untuk kelangsungan hidup bagi menyara isteri dan tiga anak yang masih kecil. Keadaan cuaca ketika ini memang tidak mengizinkan.

“Jika saya turun pun mungkin hanya separuh jalan dan membazir duit mengisi petrol,” katanya yang lebih 10 tahun menjadi nelayan.

BHonline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button