Wanna Ali mahu lebih berdikari
Selepas kejayaan membeli kereta mewah jenama Mercedes-Benz GLC 300 dengan menggunakan wang simpanan sendiri tercapai, kini pelakon Wanna Ali berhasrat untuk membina sebuah banglo untuk didiami.
Enggan mengharapkan bantuan ibu bapa selama-lamanya, Wanna mengakui sudah tiba masanya untuk dia lebih berdikari dan mencari duit poket sendiri untuk meneruskan kehidupan.
Wanna berkata, dia juga ingin menutup mulut orang ramai yang menganggap dirinya mudah memiliki segala-galanya kerana dibesarkan oleh ibunya yang juga penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh.
“Selama ini ramai yang menganggap saya mudah untuk mendapatkan segala yang saya inginkan walhal saya berusaha keras untuk memenuhi kehendak diri. Saya bersyukur impian untuk membeli kereta sendiri akhirnya tercapai.
“Keluarga saya pun bukan daripada keturunan yang senang, tapi mama bekerja keras untuk membesarkan anak-anaknya. Dia adalah ‘superwoman’ dan tidak pernah mengenal erti penat selama ini.
“Bagi saya, mama adalah ibu dan bapa saya kerana dia bercerai pada usia yang masih muda dan saya sendiri menjadi saksi dia bekerja siang dan malam untuk beri kami kesenangan,” katanya.
Menurut Wanna, dia sentiasa memegang prinsip hidup ibunya yang sentiasa bangun awal pagi sekiranya ingin berjaya dan dimurahkan rezeki.
“Setiap hari dia tanpa gagal pasti akan bangun awal pagi. Walaupun kadang-kadang pulang lewat, tapi dia tetap pastikan dirinya bangun awal pagi.
“Mama pesan bangun awal pagi membuka pintu rezeki. Jadi, dia selalu mengingatkan saya untuk mulakan hari dengan bangun awal pagi. Selain itu, salah satu faktor rezekinya murah juga disebabkan dia tak pernah lupa beri duit kepada ibunya,” katanya.
Wanna berkata, perancangan untuk membina rumah terbabit akan mengambil masa beberapa tahun lagi memandangkan dia perlu mengumpul wang.
“Tanah memang sudah ada, cuma nak bina sebuah rumah menelan kos yang tinggi. Lagipun saya enggan terburu-buru kerana masih menetap di rumah keluarga.
“Sekarang mama sudah mengupah orang untuk meratakan tanah dan mengikut perancangan rumah itu akan siap dalam tempoh tiga tahun. Namun saya hanya merancang, sebaliknya Tuhan yang menentukan,” katanya.
Mengakui permulaan 2022 berjalan dengan baik dan tersusun rapi, Wanna berharap dirinya dihujani pelbagai tawaran lakonan.
“Tidak dinafikan permulaan tahun 2022 berjalan dengan baik. Namun saya gementar sebab kereta yang baru dibeli adalah komitmen pertama saya.
“Jika selama ini saya menggunakan kereta keluarga yang sudah dianggap seperti kereta sendiri, tapi kali ini saya perlu fikir dan pastikan kereta terbabit dijaga dengan baik.
“Saya percaya dengan komitmen yang perlu saya bayar setiap bulan yang membuatkan saya lebih bekerja keras untuk mencari wang. Saya juga ada keinginan dan perbelanjaan lain yang perlu dilunaskan.
“Jadi, ia memberi saya semangat untuk terus bekerja dan mencari rezeki. Saya kini pun sibuk menjalani penggambaran drama untuk slot Lestary di TV3 berjudul Adakah Kau Menungguku,” katanya.
Menyentuh mengenai kerjaya seni, Wanna bersyukur apabila jadual seninya sudah penuh sehingga Mei depan.
“Banyak perkara yang saya impikan tahun ini, tapi saya cuma mengharapkan segala apa yang saya lalui dipermudahkan.
“Saya juga selalu berdoa supaya Allah murahkan rezeki saya tahun ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada syarikat pengurusan saya, Pencil Pictures Sdn Bhd kerana berjaya menyusun dan memilih tawaran yang hebat untuk saya lakonkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wanan turut memaklumkan dirinya bakal terbabit dengan penggambaran sebuah drama untuk siaran Awesome TV.
metro