Mangsa banjir tidak tahu apa salah silap

 

“Saya tidak tahu di mana silapnya sehingga tidak menerima bantuan mangsa banjir sama ada daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

“Apabila dimaklumkan mangsa lain menerima bantuan itu dan saya tidak, ia seperti tidak adil kepada saya,” kata Hasrah Isa, 61, dari Kampung Kuala Klawang.

Hasrah berkata, dalam kejadian pada 3 pagi 18 Disember lalu, dia dan isterinya hanya sempat menyelamatkan diri sahaja berikutan air naik dengan cepat.

Menurutnya, dia dan isteri keluar rumah sehelai sepinggang dan terus pergi ke belakang sebuah kedai menjual peralatan rumah di Kuala Klawang.

“Saya pulang ke rumah selepas banjir surut dan melihat pada kesan banjir dengan paras air hampir mencecah kipas siling.

“Sebelum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan D’Sury, Kuala Klawang pada Isnin (20 Disember) saya menumpang tinggal di rumah anak di Seremban.

“Namun disebabkan Bukit Tangga tidak boleh dilalui kenderaan akibat tanah runtuh, saya dan isteri ambil keputusan untuk tinggal di PPS,” katanya.

Hasrah berkata, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hanya memberi alasan dia tiada di rumah ketika mereka datang melawat rumahnya, menyebabkan namanya tercicir.

Menurutnya, pihak berkaitan seperti urusetia PPS sudah sedia maklum namanya turut tersenarai sebagai mangsa banjir dan dia membuat laporan polis berhubung kejadian banjir itu di Balai Polis Kuala Klawang pada 20 Disember.

Sementara itu, Muhamad Abas, 74, dari Kampung Kuala Pah berkata, dia hanya menerima bantuan wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan sahaja.

“Pelik bagaimana nama saya boleh tercicir sedangkan sudah mendaftar dan tinggal di PPS D’Sury selepas diminta berbuat demikian.

“Jiran lain yang mengalami banjir sudah menerima bantuan disediakan kerajaan negeri itu,” katanya yang turut membuat laporan polis pada 20 Disember.


kosmo

Leave a Reply