PKP sebabkan Saat Kau Takluk Cinta Ini ‘trending’

 

Cabaran yang terpaksa ditempuhi bagi menyelesaikan penggambaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata berbaloi apabila naskhah Saat Kau Takluk Cinta Ini ‘trending’ sejak disiarkan.

Penerbit Kembara Sufi Production Sdn Bhd, Jaja Ishak berkata, kerja penggambaran pernah tertunda beberapa bulan lalu berikutan pematuhan fasa PKP hingga pihak produksi perlu merombak beberapa perincian penting, namun ia tidak mematahkan semangat menghasilkan naskah berkualiti.

“Kami bersyukur apabila drama bersiri yang menggandingkan Idris Khan dan Intan Najuwa ini mampu memenuhi selera penggemar dengan jalan cerita menarik disulami plot mendebarkan.

“Sejujurnya saya sangat terharu dengan sokongan ramai terhadap Saat Kau Takluk Cinta Ini yang tidak putus menyuntik semangat, apatah lagi dalam situasi negara sedang berhadapan musibah banjir.

“Pada masa sama, selaku penerbit, paling mengujakan apabila drama ini turut ‘trending’ nombor satu menerusi aplikasi Iqiyi Malaysia iaitu aplikasi penstriman sejam selepas ditayangkan TV3.

“Banyak cabaran untuk menyiapkan drama ini. Kami memulakan penggambaran pada pertengahan tahun, tetapi hanya dapat menyambung semula kerja selepas Aidilfitri,” katanya.

Saat Kau Takluk Cinta Ini yang ditayangkan menerusi slot Samarinda merupakan kisah adaptasikan daripada novel berjudul sama karya

Skrip olahan semula Eja Lorena bersama sentuhan Zamri Zakaria selaku pengarah ini menjalani penggambaran sekitar Kuantan, Pahang dan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama.

Kisah bermula apabila Haira Melissa lakonan Intan Najuwa dibuang keluarga dan melarikan diri ke sebuah kampung setelah dituduh merampas tunang kepada adik tirinya.

Ketika hujan, dia yang menumpang berteduh di sebuah pondok bertemu dengan Rahhal Taufiq (Idris Khan) secara tidak sengaja, sekali gus mencetuskan konflik baharu.

Akui Jaja, keserasian Intan dan Idris memberikan impak besar terhadap perjalanan penceritaan yang sarat dengan emosi dalaman sehingga membuatkan penonton turut terbuai dengan perasaan ingin mengikuti episod seterusnya.

“Jika diikutkan jalan cerita yang dipersembahkan dalam drama ini begitu kuat serta dramatik. Saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat kali ini.

“Semua pelakon termasuk watak sokongan memberi sepenuh hati dalam setiap babak dan perwatakan yang menjadikan karektor digalas mereka juga bertambah ‘hidup’.

“Saya pasti penonton terus teruja untuk mengikuti perkembangan konflik dalam episod seterusnya yang diyakini sarat elemen kejutan terutama membabitkan hubungan dua jiwa itu,” katanya lagi.

Selain Idris Khan dan Intan Najuwa, Saat Kau Takluk Cinta Ini turut membariskan Wafariena, Shakilla Koriri, Shazwan Zulkifly, Wan Maimunah, Raja Azmi, Farhan Asri dan Jasmin Hamid.

Terdahulu, Jaja turut melancarkan lagu Takdir nyanyian Aliff Iskandar srlaku runut bunyi (OST) drama ini yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music dan semua platform digital.

kosmo



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button