Denden minat Amy, Search sejak kecil

 

Mengagumi kumpulan legenda ikonik Search sejak dari kecil membuatkan penyanyi dari Indonesia, Denden Gonjales, 38, sukar menolak lamaran sebagai vokalis.

Penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu terharu dan tidak menyangka bakatnya menjadi perhatian anggota Search untuk menggantikan tempat vokalis lama.

Selain Denden atau nama sebenarnya, Denden Samsuhendar, kumpulan yang ditubuhkan 40 tahun lalu itu kini dianggotai Din selaku pemain gitar, Kid (gitar), Yan (bass) dan Pae (drum).

“Saya menerima lamaran Search hampir sebulan lalu. Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan.



“Saya akui meminati Search dan membesar dengan lagu-lagu mereka sejak kecil. Jadi, tawaran ini umpama bulan jatuh ke riba dan kebanggaan buat saya.

“Walaupun ada persepsi mengatakan Search tidak lagi sepopular zaman dahulu, tetapi saya tetap bangga dapat menjadi sebahagian kumpulan legenda ikonik Malaysia. Saya tidak menyangka impian saya menjadi kenyataan,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, bakat besar Denden mula menjadi perhatian anggota Search menerusi laman YouTube miliknya.

Kemampuan Denden menyanyikan lagu Search yang bernada tinggi tidak diragui anggota kumpulan itu, ditambah pula kemampuannya memukau juri pada acara ‘blind audition’ program The Voice Bulgaria pada Oktober tahun lalu menerusi lagu She’s Gone daripada Steelheart.

Pengalamannya dalam dunia seni suara bukanlah baharu, Denden pernah berduet dengan penyanyi dengan nama besar di Indonesia dalam pelbagai program hiburan, antaranya, Judika, Inka Christie, Sule dan Ian Kasela daripada band Radja.

Bagaimanapun, Denden berharap, dirinya tidak dibandingkan dengan vokalis asal, Amy.

Katanya, dia dan Amy memiliki cara dan gaya berbeza dan ia tidak sepatutnya dijadikan bahan pertikaian.

“Saya menyertai kumpulan Search bukan berlawan mahupun membuktikan siapa lebih hebat. Ini kerana Amy menjadi idola saya sejak kecil lagi.

“Lagipun, pengalaman kami dalam dunia muzik juga berbeza. Kami ada cara dan gaya tersendiri.

“Jika ada persepsi mengatakan saya tidak setanding atau tidak sesuai bersama Search, saya tidak kisah. Saya juga tidak mahu ulas mengenai perkara ini. Terserah kepada pendapat masing-masing,” katanya yang kini masih berada di Indonesia.

Bagaimanapun, Denden berkata, dia tidak sabar terbang Malaysia untuk bersama-sama dengan anggota kumpulannya itu.

Denden memulakan kerjaya dengan mewujudkan saluran YouTube sekitar 2014. Kehebatannya mendendangkan lagu bernada tinggi terutama milik Steelheart berjaya membuatkan Denden menjadi perhatian ramai sehingga diundang menyertai pelbagai program televisyen di Indonesia.

Sehingga kini, saluran YouTube Denden memilik hampir 600,000 pengikut dan pernah menghasilkan lagu berjudul Mimpi pada September lalu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker