AS, Eropah sepakat halang Russia serang Ukraine

 

Presiden Joe Biden dan pemimpin kuasa Barat mencapai kata sepakat untuk menghalang Russia daripada menyerang Ukraine.

Serentak itu katanya, seramai 8,500 tentera Amerika Syarikat (AS) diarah bersiap sedia untuk membantu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Saya mengadakan pertemuan yang sangat baik dan mencapai kata sepakat dengan semua pemimpin Eropah,” katanya selepas menamatkan sidang video selama satu jam 20 minit dengan pemimpin sekutu dari Eropah dan NATO.

Turut serta dalam rundingan membincangkan krisis Russia-Ukraine itu adalah pemimpin Perancis, Itali, Poland dan Kesatuan Eropah (EU).

Di London, pejabat Perdana Menteri, Boris Johnson, menyatakan semua pemimpin bersetuju kepentingan perpaduan antarabangsa dalam menghadapi tekanan Russia yang semakin meningkat.

Canselor Jerman, Olf Scholz, turut mendesak Russia mengurangkan keganasan, manakala Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg memberi amaran akibat akan timbul jika Moscow menceroboh Ukraine.

Bagaimanapun, Presiden Russia, Vladimir Putin, menegaskan beliau tidak berniat untuk menyerang, namun pada masa sama menempatkan kira-kira 100,000 tentera di sempadan Ukraine.

Sebelum ini Russia menguasai Crimea pada tahun 2014 dan menyokong tentera pemisah di timur.

Moscow sebelum ini menuntut Ukraine, bekas negara Kesatuan Soviet, tidak dibenarkan menyertai NATO serta pakatan lain bersama AS sebagai balasan untuk mengurangkan ketegangan.

Namun tuntutan itu ditolak AS dan NATO manakala Putin diarah mengundurkan tenteranya dari dari sempadan Ukraine.

Sementara itu, jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, kira-kira 8,500 tentera AS berada dalam keadaan bersiap siaga untuk ditempatkan di rantau itu bersama Pasukan Tindakan Balas NATO.

NATO juga berkata, blok itu menghantar jet dan kapal perang untuk menguatkan kedudukannya di timur eropah.

– AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button