Orang politik panggil Raja Bomoh datang untuk pagar Johor daripada Covid-19

                                                                   Foto: The Star 

Ibrahim Mat Zin atau raja bomoh mendedahkan dia menerima jemputan daripada ahli politik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, bagaimanapun jemputan itu bukan untuk khidmatnya sebagai pengamal perubatan tradisional bagi membantu mereka menang PRN di negeri itu, sebaliknya untuk melakukan ritual ‘memagar’ negeri Johor daripada wabak Covid-19 semasa kempen PRN dijalankan.

Ibrahim mendakwa perkara sama pernah dilakukannya semasa PRN Melaka.

“Sebilangan orang politik panggil saya datang untuk ‘memagar’ Johor daripada Covid-19.

“Saya selalu ikhtiar minta kepada Allah, Allah yang menentukan, bukan kita.

“Dulu saya buat (memagar) di PRN Melaka, saya buat, semua tak kena. Syukur kepada Allah. Hari ini buat di Johor. Jadi  saya ucap terima kasih kerana bagi sokongan pada saya,” katanya.

Ibrahim ditemui pemberita selepas prosiding kes siasatan beliau atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, dia sudah lima hari berada di Johor untuk melakukan ritual ‘memagar’ negeri itu daripada Covid-19 semasa kempen PRN.

Katanya, dia hanya balik ke Ipoh untuk prosiding kesnya hari ini.

“Saya doakan politik Johor semuanya baik, PRN semua baik, tiada halangan apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim menegaskan dia tidak menggunakan khidmat peguam untuk siasatan kes beliau mencela dan menghina agama Islam di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.

“Saya tak pakai peguam, kenapa nak ada peguam? Kita pun boleh jadi peguam.

“Hanya mereka yang tak tahu bercakap sahaja pakai peguam, saya boleh bercakap, buat apa buang duit untuk bayar peguam.

“Saya bukan kedekut, saya boleh bayar duit peguam tapi saya dari kecil sudah biasa dengan orang politik sampai sekarang, saya pun macam peguam juga,” katanya. 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button