Demam, sakit dada risaukan Liza Hanim

Oleh – Syeikh Baran


Demam, sakit dada risaukan Liza Hanim
Liza bakal berkongsi perjalanan karier seni selama 27 tahun pada konsert di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, Ahad ini.

Liza Hanim, 45, risau tahap kesihatan tidak begitu baik menjelang konsert sulung berskala besarnya, Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Zepp Kuala Lumpur di ibu negara, Ahad ini.

Liza atau nama sebenar, Haliza Hanim Abdul Halim mengalami gejala demam sebelum sakit dada sejak minggu lalu, hingga perlu berjumpa doktor dan mengambil ubat.

“Sakit dada ini tidak pernah terjadi kepada saya. Kalau ikut apa yang doktor cakap, ini berpunca daripada virus, tetapi, tidak tahu jenisnya.



“Situasi ini membuatkan saya rasa lain. Namun, mahu atau tidak, saya kena teruskan dan anggap ini sebagai dugaan. Kesan yang saya alami adalah semput.

“Saya tidak pernah kena atau rasa gejala sebegini, ini sesuatu yang baharu buat saya. Tetapi, saya bersyukur pasukan kerja dan guru vokal, Cikgu Shafie banyak membantu,” katanya ditemui pada sesi latihan menjelang Liza Hanim 27 Years Journey In Concert di Royal Studio di sini, hari ini.

Berikutan itu, Liza yang bakal mendendangkan lebih 30 lagu pada konsert itu akan mengikut apa sahaja saranan doktor dengan harapan kesihatannya pulih sekurang-kurangnya 80 peratus.

“Apa yang saya kena buat sekarang adalah berjumpa doktor dan rehatkan suara. Selain itu, saya perlu ambil ubat-ubatan yang disarankan.



“Pada mulanya saya fikir sakit ini disebabkan COVID-19 atau influenza sebab badan sakit. Tetapi apabila buat pemeriksaan, bukan berpunca daripada itu.

“Saya fikir kesihatan saya sedikit sebanyak sudah mula baik, tetapi, kena ambil masa. Saya sangat berharap dapat pulih sekurang-kurangnya 80 peratus menjelang konsert,” katanya.

Ibu kepada lima cahaya mata itu menambah, apa yang penting adalah detik pertemuan penuh bermakna bersama peminat selepas 27 tahun bergelar penghibur.

Pada konsert anjuran LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment itu, Liza bakal menyampaikan untaian lagu hit yang dipetik daripada tujuh album sejak bergelar anak seni.



Liza Hanim 27 Years Journey In Concert turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button