Nostalgia sebungkus mee

Oleh – Syeikh Baran


Nostalgia sebungkus mee
Lagu Kembang Terhalang dan Bahang Asmara dendangan Gamma pernah jadi siulan anak muda.

Jika diimbas semula kerancakan industri muzik era 1990-an, nama kumpulan Gamma antara band rock kapak yang cukup dikenali.

Lagu seperti Kembang Terhalang dan Bahang Asmara antara lagu hits yang menjadi siulan anak muda.

Namun, peredaran masa membuatkan nama Gamma semakin tenggelam dan akhirnya hilang daripada radar dunia seni.



Hanya lagu malar segar mereka sahaja masih diputarkan di corong radio, sekali gus menjadi pengubat rindu peminat.

Meskipun tiada publisiti ataupun kelibat jarang dilihat menghiasi kaca televisyen (TV), namun vokalisnya, Blank masih aktif menyanyi.

Blank atau nama sebenarnya, Rosli Mohd Sharif, 69, berkata, ketiadaan Gamma bukanlah penghalang untuknya terus menghiburkan peminat.

“Sekarang saya bergerak solo dan aktif membuat persembahan dalam pelbagai acara seperti karnival.



“Cuma saya jarang masuk TV membuatkan orang ingat saya tidak lagi aktif.

“Mungkin penganjur tak tahu macam mana nak hubungi saya menyebabkan terlepas pandang.

“Saya juga masih menghasilkan single baharu dan memperdengarkan di laman YouTube,” katanya ketika ditemui BH Online.

Tidak dinafikan, meskipun lagu nyanyiannya sudah berusia lebih 30 tahun namun hingga hari ini, ia masih lagi didengar.



Mengulas perkara itu, Blank berpendapat lagu era 1990-an mempunyai melodi dan lirik menyentuh hati, sekali gus membuatkan ia mampu melekat dalam jiwa pendengar.

“Lagu dulu banyak merintih dan berkisar putus cinta. Disebabkan itu, ia pantas mencuri perhatian peminat.

“Selain itu, kita main muzik sebab keikhlasan dan bukan semata-mata nak cari duit atau nak kejar glamor.

Nostalgia sebungkus mee
Blank kini bergerak solo dan aktif membuat persembahan biarpun bergelar ketua kampung. – NSTP/Farihad Shalla Mahmud

“Pernah melalui saat getir apabila terpaksa makan sebungkus mee segera dan berkongsi dengan ahli kumpulan lain demi mahu berkarya,” imbaunya.



Sementara itu, selain aktif menyanyi, Blank yang mesra dengan panggilan Atok ini juga menggalas tugas sebagai Ketua Kampung di kediamannya di Kampung Batu Arang, Rawang, Selangor.

“Saya jadi ketua kampung sejak 2008 dan letak jawatan pada 2015. Sebagai ketua kampung, tugas saya menjadi perantara antara penduduk kampung dan wakil rakyat.

“Biasanya setiap pagi saya akan berjalan sejauh dua kilometer dan panjat bukit untuk meninjau kawasan.

“Kiranya macam rutin senaman untuk saya juga. Saya letak jawatan pada 2015 sebab masa dapat banyak tawaran ‘show’ dan sukar untuk bahagikan masa.



“Jujurnya, bila jadi ketua kampung saya sangat tertekan kerana banyak masalah orang kampung yang perlu diselesaikan.

“Bagaimanapun, saya dilantik semula pada 2021. Mulanya, saya menolak sebab tak nak peningkan kepala.

“Namun, disebabkan ramai pujuk termasuk ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, saya akhirnya mengalah,” ujarnya.

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading