PRN Johor: Pengundi muda disaran buat pilihan secara rasional

Mersing: Pengundi muda diingatkan supaya membuat pilihan berdasarkan rasional dan bukannya terpengaruh dengan emosi masing-masing.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy berkata, pelbagai isu dimainkan terutama di media sosial dan itu boleh mempengaruhi pengundi muda.

“Pengundi muda bila nak undi kena rasional dan bukannya emosional.



“Banyak isu dimainkan di media sosial seperti pada Pilihanraya Umum 2018 lalu seperti isu Felda akan bankrap, tetapi kita lihat peneroka menikmati hasil lumayan ketika ini.

“Kita dah banyak bazirkan masa selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah dan banyak kerja yang tergendala.

“Jadi, pengundi muda kena nilai betul-betul sesuatu isu yang dimainkan itu sama ada betul atau tidak,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi Kampung Sri Pantai di sini.

Pada PRN kali ini, Raven Kumar akan ditentang tiga calon daripada Parti Perikatan Nasional, Parti Keadilan Rakyat dan Pejuang.



Beliau adalah penyandang di kawasan itu bagi dua penggal sebelum ini.

Raven Kumar mengingatkan pengundi muda supaya menggunakan peluang mengundi sebaik mungkin.

“Kerajaan sudah memberi kepercayaan kepada mereka untuk terbabit dalam pilihanraya ini secara langsung.

“Jadi, gunakan peluang ini dengan bijak dan undi pada parti yang mampu memberi kestabilan politik seperti yang menjadi keutamaan BN,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button