Nelayan dan BN berpisah tiada

JOHOR BAHRU: “Kumpulan nelayan cukup selesa di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kami berharap BN terus membela nasib kami pada masa depan,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz.

Azli berkata, pihaknya berharap kerajaan BN akan mendapat mandat sepenuhnya bagi menubuhkan kerajaan negeri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan.

Menurutnya, ia bukan sahaja memudahkan nelayan bagi menyuarakan hasrat mereka demi meneruskan kehidupan termasuk menjalankan kegiatan penangkapan ikan.

Katanya, pihaknya berharap pembayaran sagu hati nelayan yang merupakan pemberian kerajaan Johor di bawah BN sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 diteruskan.



“Pemberian wang sagu hati sebelum ini kepada nelayan, penternak kupang dan ikan sangkar di Johor Selatan yang terjejas akibat penambakan laut dan hakisan merangkumi Parlimen Johor Bahru, Tebrau, Pulai, Gelang Patah dan Tanjung Piai.

“Ianya amat bermakna bagi kami terutama yang banyak berkorban demi pembangunan pesat hingga terjejas sumber pendapatan kira-kira lima hingga 10 peratus setahun,” katanya.

Azli berkata, demi melahirkan generasi pelapis nelayan, kelulusan permohonan lesen bot juga seharusnya dipermudahkan.

Menurutnya, setakat ini terdapat kira-kira 300 nelayan di kawasan Johor Selatan dan seramai 300 di Pontian dan kebanyakannya adalah nelayan tradisional.



“Golongan muda yang berasal daripada keluarga nelayan juga menunjukkan minat untuk menjadi nelayan namun berdepan kekangan apabila sukar mendapatkan lesen.

“Kami berharap kerajaan mengambil berat berkaitan perkara berkenaan,” katanya.

Azli berkata, pihaknya juga berharap sumbangan bantuan bot mahupun peralatan penangkapan ikan diperluaskan berikutan kawasan penangkapan ikan yang semakin terhad mengakibatkan nelayan ke kawasan lebih jauh termasuk Kuala Sungai Johor untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kemudahan bot mahupun peralatan penangkapan ikan yang dalam keadaan baik membantu kelancaran aktiviti nelayan.



“Kami juga berdepan dengan kos sara hidup yah semakin tinggi dan turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kumpulan nelayan berharap elaun sara hidup ditambah daripada RM300 kepada RM500.

“Kami adalah penyokong kerajaan BN yang setia menanti pemerintahan parti berkenaan di peringkat negeri atau pusat sepenuhnya,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button