Bau busuk bongkar penemuan mayat

Sungai Petani: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring atas kerusi di ruang tamu rumahnya di Taman Keladi di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan pada 4.30 petang oleh jirannya yang tidak tahan menghidu bau busuk sebelum dia melihat melalui tingkap rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jiran lelaki terbabit mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan kemudiannya menghubungi pollis.



Menurutnya, hasil siasatan adik mangsa memberitahu yang abangnya itu masih bujang dan bekerja sendiri serta tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak 10 tahun lalu.

“Adiknya juga mendakwa si mati menghidap darah tinggi serta kencing manis dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Ahli keluarga akan membantu lelaki terbabit sekiranya dia memerlukan pertolongan dan mereka saling berhubung seminggu sekali untuk bertanya khabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, hasil siasatan lanjut jirannya juga memberitahu kali terakhir bertemu lelaki terbabit kira-kira dua minggu lalu di hadapan rumahnya.



“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, kita percaya lelaki berkenaan sudah meninggal dunia lebih 24 jam.

“Siasatan di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, lokasi kejadian sudah disanitasi dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan Covid-19 akan dijalankan sebelum proses bedah siasat dibuat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.



Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button